KETUA JABATAN PERLU PUNYAI NILAI KEPIMPINAN TINGGI UNTUK PANDU ARAH JABATAN
USM PULAU PINANG, 22 November 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Program Induksi Ketua Jabatan Lantikan 2022-2024 bagi memberi pendedahan serta menyampaikan visi dan misi universiti di masa hadapan.
Program selama dua hari pada 15 dan 16 November lalu yang diadakan di Dewan Persidangan Universiti (DPU) Kampus Induk USM itu mengumpulkan seramai 39 ketua jabatan dengan pengisian beberapa slot ceramah.
Penganjuran program dijalankan oleh Pejabat Kluster Kepimpinan, Jabatan Pendaftar yang diketuai oleh Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, dan Pusat Transformasi Insan (PTI) USM.
Program hari pertama diisi dengan slot ceramah yang disampaikan Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said.
Pada program itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan turut menyampaikan ucapan aluan dan ucaptama, diikuti sesi diskusi yang turut diadakan bersama Timbalan-Timbalan Naib Canselor.
Awang Adek ketika menyampaikan ceramahnya berkongsi pengalamannya dalam beberapa sektor diceburinya dan berharap ketua-ketua jabatan yang akan menerajui jabatan di USM dapat memberikan khidmat terbaik.
Katanya, hal ini penting bagi membantu memandu halatuju jabatan termasuk staf dalam memastikan setiap jabatan di USM menjalankan fungsi masing-masing, sekaligus mewujudkan budaya kerja berpasukan.
“Setiap jabatan mempunyai fungsinya tersendiri dan bergerak mengikut halatuju yang di bawah tanggungjawab ketua jabatan, justeru itu setiap ketua jabatan mestilah mempunyai nilai kepimpinan tinggi bagi memandu arah kesemua staf di bawahnya.
“Saya yakin, semua ketua jabatan yang dilantik mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan nilai kepimpinan yang tinggi,” katanya.
Hadir sama Pendaftar USM, Dr. Musa Ali dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) serta barisan pegawai utama universiti.
Program turut diisi dengan Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan kepada Sukarelawan dan Petugas COVID-19.
Naib Canselor menyerahkan watikah pelantikan kepada kesemua 39 ketua jabatan (24 Dekan Pusat Pengajian dan 15 Pengarah Institut/Pusat Kecemerlangan, HiCoE dan CoE) lantikan 2022-2024.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 594