USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MBBC PUPUK KESEDARAN TENTANG BIDANG ILMU NEUROSAINS DALAM KALANGAN GENERASI MUDA

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 November 2021 – ‘Malaysian Brain Bee Challenge’ (MBBC) adalah satu insiatif perkongsian ilmu neurosains daripada Projek Perdana Libatsama ‘BrainBee@USM’, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Jaringan Neurosains (SfN) Kelantan dan Persatuan Neurosains Malaysia (MSN).

Projek ini diketuai oleh Pensyarah Perubatan dan Perunding Kajisaraf, Jabatan Neurosains Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha di bawah naungan Koordinator ‘International Brain Bee’ (IBB) Malaysia merangkap Penasihat ‘International Youth Neuroscience Association USM & Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah.

0F8A5112 70D7 40E4 A210 7064C0259115

MBBC mula diperkenalkan pada tahun 2012 yang pada peringkat awalnya hanya melibatkan sekolah-sekolah menengah di negeri Kelantan melalui Program Pemindahan ilmu (KTP), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan geran BJIM USM.

Kini ia telah berkembang ke seluruh negara bertujuan untuk menyemai kesedaran berkaitan bidang Neurosains dalam kalangan generasi muda bermula pada peringkat sekolah menengah di Malaysia.

MBBC bagi tahun 2020 dan 2021 terpaksa dijalankan secara maya memandangkan negara masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19.

Johan pertandingan bagi tahun 2020, Lim Yu Cheng dan Johan bagi tahun 2021, Ahmed Adam Tufayl Razman telah dihantar menyertai IBB 2020 dan 2021 yang juga berlangsung secara maya pada 5 hingga 8 November lalu.

Kedua-dua juara kebangsaan bagi tahun 2020 dan 2021 itu telah memperoleh tempat kedua dalam pertandingan tersebut.

Tahniah diucapkan kepada kedua-dua peserta yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa sekali gus memecah rekod sebelum ini.

IBB direka untuk menjadi salah satu pertandingan akademik peringkat tinggi dan mesra. Bahan untuk pertandingan diambil daripada kandungan kursus universiti dan sekolah perubatan serta memerlukan persediaan yang teliti.

Bahagian pertama pertandingan melibatkan peperiksaan bertulis merangkumi komponen neuroanatomi dan histologi serta diagnosis pesakit.

Matlamat utama IBB diadakan adalah untuk memberi motivasi kepada pelajar bagi mempelajari tentang otak serta memberi inspirasi kepada mereka untuk meneruskan kerjaya dalam bidang neurosains dan perubatan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 477

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024