USM RANGKUL PERSEMBAHAN TERBAIK RENTAK BITARA MAKUM 2013
PERAK, Jun 2013 - Kumpulan The USM Tutti Ensemble (TUTE) yang terdiri daripada 10 orang pelajar USM daripada pelbagai bidang pengkhususan telah dinobatkan sebagai naib johan dan persembahan terbaik pada Pertandingan Rentak Bitara MAKUM 2013 yang diadakan baru-baru ini.
TUTE adalah dibawah pimpinan Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Seni (PPS), Prof. Madya Razif Mohd yang juga penggubah semula lagu-lagu yang dipertandingkan. Mereka membawakan lagu “Tunjuk Satu Bintang” dari Kumpulan Ecoutez yang berentak RnB dan “Tanya sama Itu Hud-hud” (etnik kreatif) yang digabungkan menjadi sebuah medley.
Program ini bertujuan memberi peluang dan ruang kepada bakar-bakat muda IPTA untuk menunjukkan kebolehan menyanyi dan bermain alat muzik serta melahirkan insan seni yang berkebolehan dan berkualiti.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Universiti Perguruan Sultan Idris dan Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) ini memperlihatkan 14 buah universiti bertanding termasuk tuan rumah.
USM membawa pulang RM1500, trofi dan sijil untuk tempat kedua manakala RM300 untuk persembahan terbaik.
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Sumbangan Cik Andy Siti Nurhidayah Rahim
- Created on .
- Hits: 1207