KKA USM TERIMA KUNJUNGAN KESATUAN SEKERJA KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
- Mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak.
- Menyebarluaskan fungsi dan peranan Kementerian Sumber Manusia dalam kalangan warga kampus khususnya para siswazah.
USM PULAU PINANG, 18 November 2021 – Kesatuan Kakitangan Am (KKA) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima kunjungan delegasi Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Kementerian Sumber Manusia (JHEKS KSM) baru-baru ini, bagi membincangkan kerjasama demi mengukuhkan jalinan kedua-dua pihak pada masa akan datang.
Ahmad Rizman Zulkharnain selaku Presiden KKA USM bersama barisan Exconya telah menyambut kedatangan pelawat tersebut di pejabat KKA, dan turut hadir Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Pendaftar USM, Dr. Musa Ali.
Delegasi JHEKS KSM pula diketuai Ketua Pengarahnya, Kamal Pardi bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Zon Utara Negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Nai Mung Kun A/L Ai Wong.
Dalam pertemuan selama hampir satu jam setengah itu, perbincangan antara kedua-dua pihak berkisar tentang inisiatif-inisiatif yang dapat mengukuhkan lagi kerjasama bagi menaikkan nama universiti serta menyebarluaskan fungsi dan peranan Kementerian Sumber Manusia.
Kamal berkata, “Perkembangan di USM jauh berbeza dari tahun 1984 hingga kini. Oleh itu, mana-mana keperluan berkaitan kerjasama di antara kesatuan ini dan pihak universiti, siswazah kami bersedia untuk turut serta, terutamanya Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan untuk berbakti semula kepada USM.
“Kami berharap dapat berkongsi ilmu pengetahuan dengan para siswazah agar lebih ramai lagi yang dapat mengetahui akan peranan dan fungsi Kementerian Sumber Manusia,” ujar Kamal yang juga alumni USM.
“Kita mahukan kesemua siswazah USM memperoleh pekerjaan setelah tamat pengajian mereka, selain mempunyai minat menjalankan perniagaan sendiri; kita tekankan juga supaya mereka tidak bergantung harap kepada sektor awam kerana peluang yang agak terhad, sebaliknya berpaling kepada sektor swasta ataupun memilih untuk bekerja sendiri,” tambahnya.
Menurut Faisal Rafiq pula, beliau sangat berbesar hati dengan pelawaan penglibatan oleh pihak Kementerian Sumber Manusia dalam menjalinkan hubungan erat ini khususnya di antara kakitangan dan pelajar.
“Saya berharap supaya KKA USM dan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Zon Utara dapat terus mengekalkan hubungan yang baik di bawah kepimpinan Naib Canselor, serta memberi tumpuan kepada aktiviti dan peranan KKA sendiri,” ujar Musa juga.
Persatuan KKA USM ditubuhkan pada tahun 1973 dan didaftarkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), Kementerian Sumber Manusia.
KKA USM mewakili suara pekerja dalam memberikan pandangan kepada pihak pengurusan USM, di samping menjaga kebajikan pekerja.
Objektif KKA USM adalah untuk melindungi kepentingan ahli-ahli kesatuan; memaju dan mengharmonikan perhubungan mesra di antara ahli dan pihak pengurusan universiti; menyelesaikan pertikaian antara ahli, pentadbir dan pengurusan secara berhemah; memajukan kepentingan pekerja yang tertakluk kepada peruntukan dalam Seksyen 50 Ordinan Kesatuan Sekerja 1959 dan bantuan kewangan dari aspek pendidikan, bencana alam dan kebajikan ahli.
Teks: Mahirah Mahyidin/Foto: Shahnizam Ab. Rahim/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 646