USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SIMPOSIUM SISA SIFAR SASAR MATLAMAT GAYA HIDUP LESTARI

USM PULAU PINANG, 13 November 2021– Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Penang Green Council (PGC) dan Educational Partnerships for Innovation in Communities – Network (EPIC-N) telah menganjurkan Simposium Sisa Sifar secara dalam talian baru-baru ini.

AF273354 EAF5 4AEF 8A59 CB9B0911CADA

Objektif utama penganjuran program tersebut adalah supaya ia berfungsi sebagai plaftorm yang menghubungkan pihak berkepentingan dalam komuniti untuk membincangkan dan berkongsi pendekatan terbaik mengurus sisa pepejal ke arah matlamat gaya hidup lestari.

Ia sekaligus memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai pengurusan sisa secara lestari daripada pakar serta untuk memahami kaedah pembentukan dan pelaksanaan program sisa sifar di rumah bersama komuniti.

Simposium berkenaan dirasmikan Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim.

Md. Roslan dalam ucapan aluannya berkata, simposium ini sangat bermakna dan membawa impak yang tinggi dalam melestarikan bumi terutamanya di dalam kampus USM.

“Kita menganjurkan satu simposium yang sangat kerdil berbanding senario sisa dalam konteks dunia yang kian meningkat dengan harapan ia dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Saya juga sebagai Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi diberi amanah untuk memacu CGSS dalam agenda kelestarian atau ‘sustainability’ yang termasuk dalamnya menguruskan sisa sedia ada seperti dari pepejal dan makanan.

“Kita juga akan melibatkan masyarakat di Balik Pulau sebagai pihak yang akan menerima pengalaman melalui projek yang kita laksanakan sebagai satu titik tanda supaya kita memperbanyakkan program-program sebegini di lain-lain tempat bagi meningkat kesedaran dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan muda,” katanya.

Md Roslan turut mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan simposium ini dengan  menghimpunkan pakar dan aktivis masyarakat melalui konteks membawa komuniti secara khusus ke halatuju sisa sifar.

Sementara itu, wakil PGC yang juga Timbalan Pengurus Besarnya, Hoo Wi Ching dalam ucapannya berbesar hati dengan kerjasama bersama USM dalam menganjurkan simposium yang amat memberi maklumat pada masyarakat dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara yang sisa sifar.

678FFFC7 7687 4A74 B1C1 DF4EE08ADA9C

“Secara amnya, PGC melalui Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah mengambil inisiatif-inisiatif hijau iaitu Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang melarang penggunaan ‘styrofoam’ dan sejak itu Pulau Pinang telah mendahului dalam pelbagai kempen pendidikan seperti kempen ‘Hari Tak Nak Beg Plastik” pada hari Isnin hingga Rabu.”

“Tujuan ini bermatlamat untuk mengurangkan jumlah sisa yang berakhir di tapak pelupusan sampah. Pulau Pinang telah mencapai kadar kitar semula sebanyak 44% pada tahun 2019 serta akan berusaha lagi pada masa akan datang dengan kerjasama seperti ini bersama USM dan badan-badan lain,” katanya.

Hoo turut memberi pujian kepada USM yang pernah menganjurkan program ‘JOM PI BERAYA’ dengan membawa cawan sendiri sempena jamuan raya Universiti dan projek-projek seperti ini menjadi pemangkin kepada permulaan penerapan pendidikan secara besar-besaran kelak.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengarah CGSS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Utama Bulan Kelestarian USM 2021, Prof. Madya Dr. Saidatulakmal Mohd serta penyelidik-penyelidik USM dan para pembentang.

Pelbagai tajuk menarik dibentangkan oleh ahli-ahli panel jemputan serta satu demonstrasi pelupusan sisa pepejal diadakan dalam simposium tersebut.

Siaran ulangan simposium ini boleh diikuti melalui Facebook: Centre for Global Sustainability Studies https://www.facebook.com/usmcgss/

Teks & Foto: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop

  • Created on .
  • Hits: 608

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024