USM SUMBANG TABLET UNTUK ANAK STAF B40, BANTU LANCARKAN PROSES PDPR
USM PULAU PINANG, 12 November 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui seliaan Jabatan Pendaftar USM menyampaikan sumbangan sebanyak 1,260 tablet kepada staf kategori B40 universiti itu.
Sumbangan dengan kerjasama Kesatuan Kakitangan Am (KKA) USM itu diberikan kepada staf B40 yang mempunyai anak berusia 7 hingga 12 tahun.
Ia bertujuan memudahkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) yang masih berjalan walaupun sesi persekolahan sudah dibuka.
Kumpulan pertama penerima membabitkan 291 staf kampus induk, 84 staf kampus kejuruteraan, 35 staf Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), 213 staf Hospital USM, dan 163 staf kampus kesihatan.
Sumbangan itu membabitkan peruntukan kira-kira RM700,000 dan spesifikasi tablet itu ditentukan oleh Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) USM.
Penyampaian sumbangan itu disempurnakan Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan di Bangunan Canselori di sini, baru-baru ini.
Faisal Rafiq ketika berucap pada majlis itu berkata, dia memahami jerit perih yang terpaksa diharungi golongan B40 ketika era pandemik COVID-19 ini sehingga menyebabkan ramai daripada mereka itu mengalami masalah kewangan.
Katanya, justeru itu, USM mengambil langkah untuk sedikit sebanyak membantu memberikan sumbangan bagi membolehkan anak-anak golongan itu dapat menjalani proses PDPR dengan lebih selesa.
"Tujuan utama projek inisiatif ini diwujudkan adalah sebagai tanda keprihatinan universiti dalam mengambil kira kebajikan staf kategori B40.
"Diharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban kewangan mereka untuk membeli tablet bagi proses PDPR sekaligus memastikan anak-anak tidak keciciran meneruskan pembelajaran," katanya.
Hadir sama pada majlis penyampaian itu adalah Pendaftar USM, Dr. Musa Ali, Presiden KKA USM, Ahmad Rizwan Zulkarnain dan barisan pegawai universiti.
Sementara itu, salah seorang penerima yang juga pembantu operasi di kampus IPPT Bertam, Mohd Suhairi Ahmad Hifni berterima kasih atas sumbangan tablet yang disampaikan USM selaku majikannya.
“Memang saya tiada lagi tablet di rumah untuk kegunaan PDPR anak-anak.
“Alhamdulillah sumbangan ini memang dapat membantu melancarkan urusan pembelajaran anak-anak;saya sangat gembira apabila dipilih sebagai salah seorang penerima,” katanya.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 579