UPACARA KONVOKESYEN KE-58 USM: MANTAN NAIB CANSELOR WANITA PERTAMA USM DAN TOKOH SUKAN NEGARA, DATUK WIRA LEE CHONG WEI ANTARA LIMA PENERIMA UTAMA DI ISTANA ARAU
USM PULAU PINANG, 29 November 2021 – Upacara Konvokesyen ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) akan bermula pada 2 Disember 2021 (Sidang 1) di Istana Arau, Perlis dan diikuti dengan sidang kedua hingga kesepuluh, bermula pada 13 hingga 21 Disember 2021 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM Pulau Pinang.
Canselor USM, D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah berkenan untuk mempengerusikan sidang pertama pada hari Khamis, 2 Disember 2021, jam 10.30 pagi di Istana Arau dengan melibatkan penganugerahan kepada lima penerima utama iaitu;
Dua Penerima Ijazah Kehormat
- Ijazah Kehormat Doktor Sains: Dr. David Lacey. Tokoh industri yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara melalui kepakarannya dalam bidang sains, khususnya teknologi LED.
- Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan: Datuk Wira Lee Chong Wei. Tokoh sukan negara merangkap pemenang pingat perak 3 kali di Sukan Olimpik.
Dua Penerima Gelaran Profesor Emeritus Dan Emerita
- Gelaran Profesor Emerita: Datuk Dr. Asma Ismail, FASc. Mantan Naib Canselor wanita pertama USM merangkap tokoh akademia tersohor di peringkat nasional dan antarabangsa.
- Gelaran Profesor Emeritus: Dr. Zhari Ismail. Mantan Akademia USM yang mempunyai kepakaran luas dalam penyelidikan herba tempatan dan farmaseutikal.
Seorang Penerima Pingat Emas Canselor (Pelajar Terbaik Segala Lapangan)
- Khaw Teng Kang. Graduan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, yang berasal dari Selangor dan bergraduasi dengan mencapai PNGK 3.97
Sejumlah 5,964 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Tinggi (Ph.D dan Sarjana - 1899), Ijazah Sarjana Muda (4,031) dan Diploma Kejururawatan (34).
D.Y.M.M Tuanku Canselor juga telah memperkenan untuk Upacara Konvokesyen ke-58 USM bagi Sidang Kedua (2) hingga Sidang Kesepuluh (10) dipengerusikan oleh Pro Canselor-Pro Canselor USM iaitu Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A.Hassan (S2-S4), Tan Sri Datuk Mustafa Mansur (S5-S7) dan Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan (S8-S10).
Upacara konvokesyen kali ini akan dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk mengelakkan sebarang penularan COVID-19. Ini termasuk tidak membenarkan ibu bapa memasuki dewan, mereka hanya dibenarkan menghantar graduan di Padang Kawad.
Graduan akan dibawa dengan menaiki bas komuter universiti ke DTSP dan dari DTSP balik ke Padang Kawad selepas tamat sesikonvokesyen, dan keseluruhan pergerakan juga terkawal.
Hanya graduan yang lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan menyertai upacara konvokesyen pada kali ini.
Untuk S2 hingga S10 di DTSP, penganugerahan ijazah-ijazah akan dijalankan secara satu sesi setiap hari (sebelah pagi) untuk memberi ruang kepada kerja-kerja sanitasi dijalankan pada sebelah petang.
Pesta Konvokesyen (ConvEx) juga tidak diadakan, berikutan pematuhan SOP bagi mengelakkan menjadi tumpuan orang ramai terutamanya keluarga atau pengunjung.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Infografik: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1067