PSA USM MENANG ANUGERAH PERSATUAN PASCA SISWAZAH DI ANUGERAH TOKOH SISWA 2020
USM PULAU PINANG, 16 November 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui program tahunannya, ASEAN FUTURE LEADERS SUMMIT (AFLES) di bawah kendalian USM PSA (Postgraduate Students Association) telah membanggakan institusi apabila memenangi kategori ANUGERAH PERSATUAN PASCA SISWAZAH di Anugerah Tokoh Siswa 2020 bagi Kluster Khas Pasukan.
Menurut Profesor Madya Dr. Anees Janee Bin Ali @ Hamid, kejayaan ini merupakan satu titik tolak penting buat universiti kerana pelajar ijazah tinggi juga mampu untuk menyumbang kejayaan sebegini kepada institusi.
“Semangat dan kebolehan yang telah ditunjukkan oleh pelajar-pelajar pasca siswazah USM sejak dari mula dulu telah membuahkan hasil melalui kejayaan hari ini,” jelasnya yang merupakan pengasas AFLES yang bermula dari 2013 sehingga kini.
Tambahnya, kejayaan ini juga telah memberikan satu sinar dan impak positif kepada pelajar-pelajar yang masih menuntut untuk terus menabur keringat dalam penganjuran program berprestij sebegini untuk manfaat semua pihak, terutama di rantau Asean.
Sebagai pemenang, USM membawa pulang geran berjumlah RM4,000, sijil dan trofi.
Sementara itu, bagi Pengarah AFLES 2016-2019, Mohammad Ali Sarvghadi, pelajar PhD dari Iran yang mendalami pengajian di Pusat Pengajian Sains Komputer, beliau menyifatkan kemenangan ini sebagai suatu yang tidak dijangkakan kerana penat lelah selama ini dalam memberikan pengisian dan output yang jelas mengenai program ini akhirnya terbalas.
Sebanyak 15 anugerah dipertandingkan, mencakupi aspek kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan, kebudayaan, sukan dan lain-lain dengan keseluruhan sebanyak 245 pencalonan diterima.
Sejak dianjurkan pada tahun 2013, Anugerah Tokoh Siswa menjadi platform terbaik bagi melahirkan graduan institut pengajian tinggi (IPT) lebih menonjol yang bukan sahaja memiliki pencapaian akademik tinggi, malah turut mempunyai sahsiah diri yang berketrampilan.
Anugerah kali ini dianjurkan bersama oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan berlangsung pada 9 November 2021 lalu secara dalam talian.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 803