USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TAWAR PENGAJIAN GAYA HIDUP SIHAT - Iktiraf Profesional Perubatan

usmpayu1

KOTA Bharu, 18 Jun- Universiti Sains Malaysia (USM) berusaha merancang dan menawarkan pengajian dan kursus-kursus yang dapat mempromosi gaya hidup sihat untuk mendorong rakyat menghargai kesihatan.

Demikian dinyatakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman ketika merasmikan Seminar Wanita Kebangsaan 2013 Hala Tuju Masa Hadapan yang dianjurkan oleh Pusat Sumber Kanser Payu Dara Hospital USM dengan kerjasama Jabatan Radiologi USM selama dua hari bermula hari ini.

"Sepatutnya kita berusaha untuk mengajak orang ramai mengamalkan dan memperluaskan usaha menjaga kesihatan, mencegah penyakit dan memastikan kita lebih amalkan gaya hidup yang sihat dengan mempelopori usaha gaya hidup yang lestari dan menumpukan kepada kesejahteraan sosial," kata Omar.

Jelasnya, USM akan sentiasa untuk melakukan usaha menterjemahkan program menjaga gaya hidup kelestarian kesihatan melalui penyelidikan dan penawaran pengajian dalam bidang yang berkaitan termasuk memastikan usaha menyelesaikan masalah dapat dilakukan dengan cara yang sebaik mungkin.

"Kita perlu akui sebahagian besar dari masalah berpunca dari gaya hidup kita termasuk dalam misalnya amalan diet dan pemakanan, merokok dan tembakau, kurang riadah, sukan dan rekreasi dan pelbagai lagi," tambah Naib Canselor.

usmpayu2

 

Beliau memuji usaha yang dibuat dengan menganjurkan seminar ini dan berharap dapat diadakan secara berterusan pada masa hadapan dalam mengumpulkan para pakar dalam bidang-bidang yang berkaitan.

"Saya harus akui yang wanita memainkan peranan utama dalam semua hal termasuk penjagaan kesihatan malah lebih mengambil berat kebajikan keluarga khususnya suami yang sering melakukan apa sahaja yang dapat memastikan kesihatannya sentiasa terjaga malah sukar ditandingi oleh laki-laki," kata Omar yang disambut oleh tepukan lebih 200 peserta yang hadir.

Dalam sidang media yang diadakan kemudiannya, Naib Canselor USM itu menggesa agar usaha dibuat untuk memberikan pengiktirafan yang lebih tinggi kepada para profesional perubatan merentasi lokasi tugas mereka, sama ada dalam institusi kerajaan, swasta mahu pun institusi pengajian tinggi.

"Tanyalah kepada para pensyarah, pakar dan pengamal perubatan tentang apa yang saya maksudkan dan bagaimana sebahagian mereka menghabiskan masa lebih 16 tahun untuk menjadi pakar dalam sesuatu bidang, apatah lagi ia adalah satu bidang profesional yang melangkaui kerjaya, yang apabila bersara, mereka masih merupakan pengamal perubatan sepanjang hayat yang ada," kata Omar.

Menurutnya lagi, sebagai profesional perubatan, usaha dan pengorbanan mereka perlu diberikan pengiktirafan yang tinggi bukan hanya dari sudut kewangan tetapi lain-lain yang harus dilihat dengan teliti demi memastikan para profesional ini dapat terus memberikan sumbangan kepakaran mereka.

Sementara itu Pengarah Hospital USM Dato' Dr Zaidun Kamari berkata, seminar yang diadakan ini adalah untuk membuka mata dan mendapat kemas kini tentang pelbagai isu yang dihadapi oleh kaum wanita termasuk keganasan rumah tangga dan gangguan seksual di samping pelbagai penyakit berbahaya seperti kanser payu dara sebagai pembunuh wanita nombor satu di dunia. 

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed dan Pengerusi Seminar, Dr. Nik Munirah Nik Mahdi. Teks/Foto: Mohamad Abdullah

 
 
 
  • Created on .
  • Hits: 1408

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024