USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENDIGITALAN TUJUH MODUL MICRO-CREDENTIAL BANTU MUDAHKAN PEMBELAJARAN 

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 November 2021 – Tujuh (7) modul ‘micro-credential’ yang diperkenalkan oleh Program Kejururawatan Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Unit Kejururawatan Hospital USM membantu memudahkan kaedah pembelajaran jururawat menerusi kaedah digital.

21165406 7007 48DD A68C 6EBCD782E2F5

Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, pandemik COVID-19 yang melanda negara telah banyak mengubah rutin kehidupan kita.  Selain berdepan cabaran dalam memberi perawatan kepada pesakit, jururawat juga perlu memenuhi keperluan mencari ilmu untuk perkembangan profesional mereka.

“Jururawat perlu sentiasa menjalani proses pembelajaran bagi meningkatkan kemahiran dan kompetensi melalui modul-modul terbaik yang ditawarkan.

“Kini proses mencari ilmu semakin mudah dan semuanya hanya di hujung jari,” ujarnya selepas memperkenalkan tujuh modul iaitu Peralatan Asas Intubasi, Penyusuan Awal Selepas Kelahiran, Jom Cuci Luka, Suntikan Intramuskular, Suntikan Insulin Menggunakan Pen Pengisian Semula, Penjagaan Kendiri Kaki Diabetes dan Prinsip Teknik Steril di Dewan Bedah.

Tambah Shaiful, modul-modul ini dimuat naik di dalam laman sesawang ‘learning4life.usm.my’ untuk memudahkan para jururawat mengaksesnya dan harga yang ditawarkan untuk mengikuti modul-modul ini sangat berpatutan.

“Modul-modul tersebut turut dibekalkan dengan latihan minda untuk memastikan ilmu yang disampaikan diingati bagi menguji tahap pemahaman jururawat yang mengikutinya.

“Semua sedia maklum bahawa ilmu sangat penting dalam kerjaya jururawat untuk memberi perawatan yang terbaik kepada pesakit. Jadi, jururawat perlu sentiasa mencari ilmu baharu untuk menambah baik kemahiran yang dimiliki supaya dapat berdaya saing dan sentiasa terkehadapan berbanding jururawat hospital lain,” jelasnya lagi.

Shaiful berkata, beliau juga percaya modul-modul yang diperkenalkan ini dapat membantu mengupaya para jururawat dengan ilmu yang dibekalkan agar mereka semakin mahir dan hebat dalam kerjaya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 719

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024