IPPT DILAWATI DELEGASI PERKESO, HUBUNGAN USM-PERKESO TERUS DIPERERAT
IPPT BERTAM, 8 November 2021 -- Kepakaran dan fasiliti perubatan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) terus menjadi tumpuan agensi kerajaan apabila menerima lawatan rasmi delegasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) baru-baru ini.
Delegasi PERKESO terdiri daripada Pengarah-pengarah PERKESO dari tiga negeri di utara Semenanjung iaitu Tn. Haji Othman Mohd Nordin (Pulau Pinang), Mohamad Haron Othman (Kedah) dan Basharudin Khalid (Perlis) bersama 13 wakil cawangan utara, dan mereka telah disambut oleh pensyarah kanan Kluster Sains Gaya Hidup, Dr. Hazwani Ahmad Yusof @ Hanafi dan beberapa staf IPPT.
Lawatan tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai perkhidmatan, peralatan dan kemudahan yang sedia ditawarkan kepada pesakit yang berinsurans di bawah PERKESO.
“Saya berterima kasih kepada IPPT kerana lawatan ini sebenarnya telah membuka mata dan minda kami dan kami berharap pihak USM dapat membantu kami (PERKESO) dan pelanggan-pelanggan yang berada di sekitar kawasan utara sekarang ini,” ujar Tn. Haji Othman.
Mereka dibawa melawat kemudahan dan fasiliti sedia ada seperti ruang Rawatan Rehabilitasi, Gim, Bilik Interaktif, Bilik Motor Training, Klinik Perubatan Integratif dan juga wad-wad.
“Kami yakin bahawa USM@IPPT dan PERKESO dapat saling membantu dalam beberapa aspek, sekaligus mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua pihak,” kata Ooi Han Siang (Lawrence), Penolong Pengarah Operasi SOSCO Tun Razak Rehab Centre Melaka yang turut serta dalam lawatan tersebut.
Timbalan Pengarah IPPT, Dr. Noor Khairiah A. Karim, turut hadir sama memberi ucapan dalam mesyuarat di samping mendengar masalah dan cadangan penambahbaikan keperluan lain, selain urusan kemasukan pesakit berinsurans bawah PERKESO bagi perkhidmatan tersebut.
Teks: Mahirah Mahyidin/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 703