USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-NARINAR KUKUHKAN KERJASAMA DALAM BIDANG PENYELIDIKAN MINYAK PATI SEMULAJADI

NARINAR GROUP SDN. BHD 1

USM PULAU PINANG, 11 November 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama NARINAR Group Sdn. Bhd., syarikat tempatan pengeluar minyak pati (essential oil) semulajadi di Malaysia, bagi mengukuhkan jalinan kerjasama dalam bidang penyelidikan sifat antimikrobial minyak pati.

Kerjasama antara Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM dengan NARINAR ini melibatkan penyelidikan makmal bagi mengkaji aktiviti mikrobial di dalam minyak pati semulajadi, sekaligus menghasilkan minyak pati yang berkualiti untuk pasaran tempatan mahupun luar negara.

QK4A1759

Bercakap di majlis perjanjian di Bilik Persidangan Canselori (CCR), Bangunan Canselori 1, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang mewakili Naib Canselor berkata, menjadi tanggungjawab USM selaku universiti penyelidikan di negara ini untuk membantu mana-mana pihak yang ingin bekerjasama apatah lagi ianya memerlukan kepakaran tertentu yang boleh kita kongsikan dan terjemahkan dalam bentuk pelan tindakan dan pelaksanaan.

QK4A1752

"Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM sedia membantu dalam aspek penyelidikan, yang mana kajian ini melibatkan pelbagai jenis bakteria yang terdapat dalam koleksi bakteria Pusat Pengajian Sains Kajihayat" jelas Abdul Rahman.

Tambah beliau, perjanjian penyelidikan ini juga akan membantu kedua-dua pihak dalam mengeksploitasi kelebihan minyak pati tumbuhan dan memberi gambaran sebenar sifat antimikrobial minyak pati ini kepada pengguna,” tambah beliau.

QK4A1789

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NARINAR Group Sdn. Bhd, Mohd Nawawi Ibrahim berkata, sebagai sebuah syarikat yang mementingkan kualiti pengguna, NARINAR yakin USM mampu menghasilkan penyelidikan yang berkualiti berdasarkan statusnya sebagai universiti utama negara dalam bidang penyelidikan.

“Misi NARINAR adalah untuk menyediakan produk-produk berasaskan ekstrak pati tumbuhan untuk kebaikan seisi keluarga pada harga mampu milik, dan dengan kerjasama strategik serta sokongan kajian-kajian saintifik dari tenaga pakar USM ini, ia akan memudahkan lagi penghasilan produk yang berkualiti tinggi buat negara selepas ini,” katanya.

Mohd Nawawi turut menambah, gabungan industri dengan universiti penyelidikan amat memberi impak dari segi fungsi dan kebaikan terutama kepada pengguna.

QK4A1791

"Penyelidikan yang berkualiti sudah pasti dapat menghasilkan produk jenama negara yang lebih berkualiti, tambahan pula dengan sokongan kajian-kajian saintifik dari pihak universiti yang membuktikan kebaikannya," jelas beliau lagi.

Turut hadir ialah Pengarah merangkap Pengasas NARINAR Group Sdn. Bhd, Nur Shazren Mohd Shah; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti) Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM yang turut mewakili Dekan, Profesor Dr. Latiffah Zakaria; Ketua Penyelidik dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM, Dr. Amira Suriaty Yaakop; pegawai-pegawai utama universiti dan pegawai-pegawai utama NARINAR Group Sdn. Bhd.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 3640

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024