USM BUAT KALI KEDUA TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DUTA JEPUN KE MALAYSIA
USM PULAU PINANG, 6 November 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan hormat Duta Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama OKA Hiroshi pada sesi lawatan kerja delegasi Kedutaan Jepun ke universiti baru-baru ini.
Kunjungan pada 2 November 2021 itu merupakan kali kedua beliau ke USM selepas kunjungan pertama yang diadakan pada 28 September tahun lalu, selepas beliau baru dilantik sebagai Duta Jepun ke Malaysia.
Kunjungan kali ini adalah bagi mengetahui secara dekat hubungan dua hala yang terjalin sekian lama di antara kedua-dua pihak, dan juga kerjasama berimpak tinggi yang berpotensi antara Jepun dan USM khususnya dalam pengajian tinggi negara.
Kunjungan bersama isterinya, OKA Rieko dan para pegawai utama Kedutaan Jepun itu disambut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Naib Canselor mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kunjungan kali kedua Duta Hiroshi ke USM dan berharap hubungan kerjasama akademik dan penyelidikan termasuk pertukaran kepakaran staf dan mobiliti pelajar, hubungan industri, kebudayaan dan bahasa dengan Jepun akan terus dipertingkatkan.
Dalam sesi pertemuan itu, Faisal Rafiq turut membentangkan profail umum dan beberapa prinsip universiti serta hala tuju yang disasarkan universiti ketika ini.
Sejak 2017, terdapat lebih 90 Memorandum Perjanjian (MoA) yang masih aktif yang telah dimeterai antara USM dengan pelbagai agensi, institusi pendidikan tinggi dan pihak industri/syarikat Jepun.
Pada masa kini, ada seramai lebih 110 pelajar Jepun yang berada di USM, mengikuti pengajian ijazah pertama dan ijazah tinggi, pelbagai program pertukaran pelajar dan program jangka pendek.
Turut hadir bersama adalah Pengarah Pusat Kebudayaan Jepun KUFS-USM, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, Masatoshi Soeda; Ketua Penolong Pendaftar(Menjalankan Tugas Pengarah) Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC), Aizat Hisham Ahmad; Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor, Mohd Rashid Abdul Rejab;dan Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC), Dr. Ahmad Zulman Mohd Zain.
Selepas sesi perjumpaan tersebut, Duta Hiroshi dan delegasi Kedutaan Jepun turut mengadakan lawatan ke Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM yang mana mereka disambut oleh Pengarah MGTF, Profesor Madya Hasnul Jamal Saidon, yang membawa mereka melawat pameran seni dan lukisan Project Monyet yang sedang diadakan di sana dari 25 Oktober hingga 24 Disember 2021.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 744