USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TNC R&I: PERPUSTAKAAN BANTU PERKASA PENERBITAN PENYELIDIKAN DI ERA PANDEMIK

USM PULAU PINANG, 4 November 2021  Perpustakaan Hamdan Tahir, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menganjurkan Simposium Pemerkasaan Penerbitan Penyelidikan USM menerusi platform maya Webex.

Picture1

Beberapa sesi perkongsian diadakan pada simposium berkenaan, dan sesi ketiga paling mencuri tumpuan dengan tajuk ‘Pemerkasaan Penerbitan Penyelidikan USM Era Pandemik COVID-19’.

Sesi berkenaan disampaikan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Rahman dalam permulaan ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang bertungkus lumus dalam menjayakan simposium yang memberi manfaat kepada para penyelidik, terutamanya pensyarah-pensyarah muda di USM.

Katanya, perpustakaan memainkan peranan utama dalam menyediakan akses kepada bahan sumber maklumat serta sokongan perkhidmatan yang diperlukan untuk pembelajaran, pengajaran serta penyelidikan dan inovasi (R&I).

Menurutnya, ia seiring dengan cabaran dan perkembangan semasa selain turut terbabit dalam mengumpul data penerbitan penyelidikan pensyarah, penyelidik dan pelajar USM.

“Penyelidikan di USM semakin mendapat sambutan dari pensyarah walaupun kita dapat melihat geran yang disalurkan berkurang, namun USM sedaya upaya menyediakan peruntukan yang lebih dalam bidang penyelidikan bagi bersaing dengan universiti penyelidikan yang lain.

“Pencapaian Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) antara universiti penyelidikan juga tinggi berbanding dengan yang lain iaitu sebanyak 144 projek,” katanya,

Picture2

Rahman juga memberi beberapa contoh penyelidik USM yang memberi manfaat hasil penyelidikannya melalui kerjasama masyarakat, misalnya Projek Tiram yang diusahakan Pengarah CEMACS dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai yang telah meningkatkan pendapatan pengusaha sebanyak RM3,000 sebulan dalam golongan B40.

“Saya bagi pihak Bahagian Penyelidikan dan Inovasi akan memberi sepenuh komitmen dalam membantu para penyelidik mendapatkan geran bagi menampung projek.

“Saya amat berbangga kerana walaupun berada dalam era pandemik, namun penyelidikan masih terus dijalankan walaupun terdapat pelbagai kekangan,” katanya.

Simposium setengah hari yang diadakan pada 27 Oktober 2021 itu telah dirasmikan oleh Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perpustakaan, dengan Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan Hamdan Tahir, Radia Banu Jan Mohamad, menyampaikan kata alu-aluan.

Turut ditampilkan dalam simposium itu ialah beberapa topik perkongsian yang cukup menarik iaitu:

1. Pandemik COVID-19: Cabaran dan Kesan Terhadap Pencapaian Penerbitan Akademik USM oleh Prof. Dr. Asrul Akmal Shafie, Pengarah Pusat Perancangan Institusi dan Strategi (IPSC) USM.

2. Pembangunan Koleksi Perpustaaan USM: Ketersediaan dan Cabaran Pembelian serta Langganan Sumber Maklumat oleh Pn. Husriati Husain, Penolong Ketua Pustakawan, Perpustakaan Hamzah Sendut.

3. Perkhidmatan Sokongan Penyelidikan Perpustakaan USM Era Pandemik COVID-19 oleh Dr. Rosnani Ahmad, Pustakawan Kanan, Perpustakaan Hamzah Sendut.

4. Perkongsian Data Penyelidikan: Adakah kita bersedia? oleh Pn. Cik Ramlah Che Jaafar, Pustakawan Kanan, Perpustakaan Hamzah Sendut.

Teks & Foto: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop

  • Created on .
  • Hits: 502

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024