USM-TPM JALIN KERJASAMA TINGKAT DAYA SAING PENGKOMERSIALAN MRANTI KE PERINGKAT GLOBAL
BUKIT JALIL, KUALA LUMPUR, 9 November 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus menjadi pilihan dalam menggerakkan nadi pengkomersialan Sains,Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STI-E) negara ke peringkat global apabila dipilih menjalinkan kerjasama dengan Technology Park Malaysia (TPM) bagi tujuan berkenaan.
Melalui penubuhan ‘Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), kerjasama dua hala ini bakal memperkemaskan lagi strategi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Pemecut Pengkomersialan Teknologi atau Technology Commercialisation Accelerator (TCA) dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui STI-E.
Persefahaman USM-TPM ini juga berfokuskan pembangunan ekosistem inovasi dan fasilitasi pertukaran pengetahuan antara universiti dan industri di negara ini.
Pada majlis pengumuman MRANTI hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Dato’ Sri Dr. Adham Baba menjelaskan misi utama MRANTI adalah untuk memudahcara proses pencetusan idea sehingga ke penghasilan impak melalui penciptaan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi dan inovasi.
"Penubuhan MRANTI di bawah program TCA ini adalah selaras dengan strategi di bawah pemangkin dasar membangunkan tenaga kerja masa hadapan dan mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi yang telah digariskan," katanya ketika merasmikan MRANTI pada majlis Pra Pelancaran Technology Commercialisation Accelerator (TCA) yang berlangsung di Auditorium Enterprise 4, Technology Park Malaysia (TPM), di sini.
Tambah Adham, MoU yang telah dimeterai bertujuan untuk menggalakkan pemindahan teknologi daripada makmal kepada industri yang akan membawa kepada pengkomersialan harta intelek dan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti.
"Maklumbalas daripada industri dan hasil penyelidikan oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah penting untuk memberi panduan kepada penyelidik dan ahli akademik untuk membangunkan penyelesaian secara komersial.
"Manakala MOSTI akan mengukuhkan impak menerusi agensi khususnya bagi mengoptimumkan sumber dan bakat," jelas Adham.
Kata beliau lagi, kolaborasi ini akan menggalakkan pembangunan ekosistem inovasi yang memudahkan pemindahan teknologi, pertukaran pakar untuk program kemudahan bersama serta kerjasama teknologi robotik dan A.I.
“TCA akan memainkan peranan utama sebagai platform pengkomersialan untuk memudahkan dan mempercepatkan pengkomersialan produk dan perkhidmatan R&D, termasuk berupaya menjana pendapatan dan pulangan ekonomi buat negara,” kata beliau.
Pada majlis yang sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed ketika ditemui berkata, USM sedia maklum merupakan universiti penyelidikan yang mempunyai pusat inovasi bermutu tinggi dalam cetusan idea-idea menghasilkan produk yang mampu dikomersial untuk ekonomi negara.
"Tertubuhnya MRANTI ini amat memberi impak positif kepada USM kerana ia memudahkan proses pengkomersialan dan USM menjadi pencetus kepada hasil-hasil penyelidikan baharu untuk diketengahkan oleh MRANTI," jelas beliau ketika hadir mewakili Naib Canselor ke majlis tersebut.
Tambah Abdul Rahman, dengan tertubuhnya MRANTI, USM lebih mudah memfokuskan bidang penyelidikan untuk menghasilkan inovasi/hasil penyelidikan, dan MRANTI berperanan memacukan hasil tersebut untuk dikomersial diperingkat tempatan mahupun antarabangsa.
"Saya mewakili USM mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada MOSTI dan TPM yang memilih USM sebagai rakan strategik kerana kerjasama ini amat memberi manfaat kepada pelbagai pihak berlandaskan 'win-win situation' melalui kepakaran masing-masing untuk pembangunan sosio ekonomi negara," kata Abdul Rahman.
Antara universiti awam yang turut terlibat dalam kerjasama ini adalah Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya (UM).
Yang turut hadir adalah Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Hj. Ahmad Amzad Mohamed; Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Technology Park Malaysia (TPM), Dzuleira Abu Bakar; dan pegawai-pegawai utama dari universiti-universiti awam, agensi kerajaan, agensi swasta dan wakil industri.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 729