USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IDMAC2021 TERUS PERKUKUH PENYELIDIKAN PENGURUSAN PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM

USM PULAU PINANG, 3 November 2021  Penganjuran Persidangan Antarabangsa Pengurusan Pembangunan Islam Kali Ke-15 (IDMAC2021) anjuran Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) mampu terus mengukuhkan penyelidikan pengurusan pembangunan berteraskan Islam sebagai salah satu aktiviti akademik di negara ini.

Picture3

Penganjuran IDMAC2021 kali ke-15 menumpukan kepada bidang pengurusan institusi masjid dan kepimpinan dakwah di Asia Tenggara dalam kebiasaan baharu COVID-19 yang menjadi salah satu daripada kepakaran yang sedang diterajui ISDEV.

Majlis perasmian persidangan itu disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad pada 26 Oktober baru-baru ini.

Idris pada ucapan perasmiannya berkata, penganjuran persidangan IDMAC2021 bertepatan dengan lima inisiatif kementeriannya dalam mendepani penularan wabak COVID-19.

“Dalam usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN), pihak kementerian khususnya menetapkan lima inisiatif iaitu yang pertama pemantapan mental, rohani dan jasmani; kedua ialah pemantapan sistem pendidikan Islam; ketiga pula ialah pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam; keempat pemantapan institusi masjid dan surau manakala kelima ialah pemantapan sosio-ekonomi ummah.

“Bagi saya, IDMAC2021 yang dianjurkan oleh ISDEV USM ini sangat signifikan dan bertepatan dalam menyokong pelaksanaan lima inisiatif ini khususnya Inisiatif yang keempat iaitu untuk memantapkan institusi masjid dan surau.

“Hal ini lebih jelas lagi apabila tema IDMAC2021 kali ini yang menumpukan kepada bidang Pengurusan Institusi Masjid dan Kepimpinan Dakwah di Asia Tenggara Dalam Kebiasaan Baharu COVID-19,” katanya.

Picture1

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim mewakili Naib Canselor USM; Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Ustaz Haji Nasrudin Hassan dan Pengarah ISDEV USM, Profesor Madya Dr. Shahir Akram Hassan.

Sementara itu, Roslan dalam ucapan aluannya mengucapkan tahniah dan syabas kerana masih banyak pihak yang mampu menghasilkan kertas kerja penyelidikan berkualiti walaupun negara ketika ini berhadapan dengan pandemik COVID-19.

“Pembentang dan peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan pelbagai agensi agama dapat berkumpul pada persidangan ini bagi meneroka, menjana dan berkongsi idea supaya perkembangan ilmu pengurusan institusi masjid dan kepimpinan dakwah dapat disebarluaskan bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh pelusuk dunia,” katanya.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada ISDEV yang konsisten menganjurkan IDMAC sebagai salah satu aktiviti akademiknya saban tahun sejak 2007 dalam usaha mengukuhkan penyelidikan dalam bidang pengurusan pembangunan berteraskan Islam,” katanya.

Picture2

Teks & Foto: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop

  • Created on .
  • Hits: 494

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024