USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SATBBMC III KUPAS INTERAKSI TAMADUN DAN PERADABAN MELAYU-CHINA

USM PULAU PINANG, 2 November 2021  Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi (UniTI), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan telah menganjurkan Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu-China (SATBBMC) edisi ketiga pada 23 Oktober yang lalu.

Picture5

USM menjadi antara universiti bertuah kerana diberikan kepercayaan menganjurkan SATBBMC III selepas kali pertama diadakan pada 2017 di Guangdong University of Foreign Studies dan di Yunnan Minzu University pada 2019.

SATBBMC III adalah anjuran bersama USM dan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Pengajian Bahasa dan Budaya Asia Tenggara, Guangxi University for the Nationalities, China dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Narimah Samat ketika berucap pada seminar itu berkata, kesusasteraan adalah antara cabang ilmu yang sentiasa menjadi tumpuan pelbagai pihak.

Katanya, disebabkan itu, pentingnya seminar seperti ini diadakan kerana karya kesusasteraan adalah seperti ‘ensiklopedia’ yang mengungkapkan pandangan dunia sesuatu bangsa melalui penceritaan dan penyulaman nilai-nilai kesusasteraannya.

“Ternyata tema seminar kali ini, iaitu 'Interaksi Tamadun dan Peradaban Melayu-China melalui Kesusasteraan' amatlah tepat sekali dengan peranan karya kesusasteraan sebagai perantara yang menjalin hubungan persahabatan Melayu-China melalui pengisahan antara dua bangsa ini.

“Terima kasih diucapkan kepada Konsul-Jeneral Malaysia di Nanning dan Konsul-Jeneral China di Pulau Pinang yang sudi menerima undangan USM untuk turut hadir bersama di seminar ini.

"Semoga perkongsian ilmu melalui pembentangan kertas kerja dalam seminar hari ini akan mencetuskan inspirasi dan ilham yang lebih mantap dalam kerjasama akademik dan penyelidikan Malaysia dan China," kata Narimah dalam ucapan aluannya itu.

Beliau turut berkata, perkongsian ilmu melalui seminar seperti ini sudah pasti akan membawa manfaat signifikan dalam kelestarian interaksi Melayu-China dari segenap aspek.

01647096 2819 4A50 9049 25C4FD9849A9

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia Di Nanning, Guangxi, China, Azlimi Zakaria dalam ucapannya turut memuji kerjasama antara USM dan Guangzi University dalam memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

“Seminar ini jelas menunjukkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China amatlah rancak, mekar dan subur.

"Kerancakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China itu sesungguhnya amat bermanfaat dan mustahak kepada interaksi Malaysia-China, sekali gus memperkukuh tali silaturrahim antara rakyat kedua-dua buah negara berjiran itu," katanya.

Pada seminar itu, Azlimi turut merasmikan dua buku hasil karya Penyelaras Unit Penyelidikan Terjemahan Dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong yang bertajuk ‘Arena Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu-China’ dan ‘Kaedah, Teknik dan Fenomena Terjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu’.

Dalam pada itu, wakil Guangxi University iaitu Timbalan Presiden, Profesor Dr. Cui Xiaoling berkata, walaupun dunia masih diselubungi pandemik COVID-19, namun demi kelangsungan akademik pihaknya tetap bersedia untuk penganjuran seminar tersebut.

Turut hadir, Konsul-Jeneral Kerajaan China di Pulau Pinang, Dr. Lu Shiwei; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa Dan Sastera DBP, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi; Pemangku Dekan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong dan Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong.

Pada hujung seminar berkenaan, para pembentang merumuskan bahawa karya kesusasteraan Melayu telah mencatatkan keharmonian dan kemesraan hubungan antara alam Melayu dan China.

Jalinan keakraban antara kedua-duanya perlu dilestarikan melalui pelbagai bentuk hubungan antara Malaysia dan China.

Sebanyak 26 kertas kerja telah dibentangkan pada seminar sehari itu, iaitu 18 kertas kerja oleh perwakilan dari Malaysia dan 8 kertas kerja oleh perwakilan dari China.

9BE69A69 4F89 450F AC7E 3790F0742FA1 

 Teks & Foto: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop

  • Created on .
  • Hits: 723

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024