USM TERIMA GERAN PENYELIDIKAN PPRN KPT; JALIN KERJASAMA DENGAN VOLTAKE ENERGY LAKSANA PROJEK SISTEM PENCUCIAN PANEL SOLAR MUDAH ALIH
NIBONG TEBAL, PULAU PINANG, 1 November 2021 -- Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mendapat manfaat daripada geran Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (Public-Private Research Network, PPRN), sebuah inisiatif inovatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), apabila menerima peruntukan dana sebanyak RM60,000 untuk melaksanakan projek bertajuk ‘Customized Semi-Automated IOT-Based Portable Solar Panel Cleaning System.’
Projek tersebut adalah bagi tempoh 12 bulan dan akan dilaksanakan bersama sebuah syarikat swasta tempatan, Voltake Energy Services Sdn. Bhd.
Projek diketuai oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Aizat Abas bersama pasukan penyelidiknya, adalah untuk membangunkan sistem bagi meningkatkan kadar pencucian panel solar yang dimiliki oleh syarikat agar tidak memakan masa lama dengan kos lebih efektif terhadap penggunaan tenaga kerja.
Menurut Mohamad Aizat, geran tersebut akan digunakan untuk membeli peralatan, membina serta membangunkan sistem perisian termasuk sensor (cleaning robot) bagi pencucian panel solar, bagi menggantikan cara pencucian sedia ada secara manual yang memakan masa yang lama.
“Sistem robot yang akan dibangunkan nanti akan mencuci panel solar yang menjadi kotor akibat faktor cuaca dan lain-lain dari hujung ke hujung panel, dan akan membunyikan penggera apabila telah selesai pencucian.
“Dalam masa yang sama, pemeriksaan dan pengujian terhadap alat tersebut akan diadakan secara berkala kerana persekitaran yang terbuka dan terdedah memerlukan peralatan yang berkualiti tinggi serta sistem yang mantap, dan mampu digunakan dilapangan dengan efektif,” ujarnya lagi.
Voltake Energy Services Sdn. Bhd. adalah syarikat/kontraktor yang menawarkan khidmat pencucian dan penyelenggaraan panel solar untuk PLB Green Solar Sdn. Bhd. yang merupakan pengeluar tenaga boleh diperbaharui bebas (IRE) berskala besar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Voltake Energy Services Sdn. Bhd, Mohd Khairul Nizam Md Radzi pula, PLB Green Solar Sdn. Bhd. telah beroperasi sejak tahun 2017 dengan kapasiti tenaga solar yang dihasilkan adalah 20 megawatt dan telah menjalin perjanjian pembelian tenaga dengan Suruhanjaya Tenaga selama 21 tahun.
“Keluasan ladang solar tersebut lebih kurang 60 hektar dan mempunyai 68,000 panel solar dan setiap panel solar tersebut mampu mengeluarkan 345 watt tenaga. Voltake Energy Services Sdn. Bhd. telah dilantik oleh PLB Green Solar Sdn. Bhd. sebagai kontraktor bagi operasi dan penyelenggaraan, dan selain itu turut terlibat mengurus 14 ladang berkaitan solar, hidro, biogas dan biomass diseluruh Malaysia.
‘Sistem tenaga solar seperti yang kita tahu dihasilkan daripada cahaya matahari melalui panel solar, dan keefisienan panel solar selepas dicuci akan bertambah 10 peratus, seterusnya ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran tenaga solar dengan lebih baik lagi dan secara tidak langsung juga meningkatkan kecekapan penghasilan tenaga,” katanya.
Tenaga yang dihasilkan dieksport kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk disalurkan ke kawasan perindustrian Batu Kawan,” tambahnya lagi.
Penyampaian cek cura telah disampaikan sendiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam satu majlis ringkas yang diadakan di tapak tenaga solar PLB Green Solar Sdn. Bhd., Jalan Byram, di sini pada 26 September 2021 yang lalu.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikanmenerima cek cura tersebut bagi pihak USM manakala Khairul Nizam menerima surat pemakluman projek PPRN bagi pihak Voltake Energy Services Sdn. Bhd. daripada YB Menteri.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusof; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, Dr. Mohd. Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar; serta pegawai-pegawai lain dari KPT, USM dan Voltake Energy Services Sdn. Bhd.
Noraini berkata pembangunan sistem itu bertepatan dengan objektif PPRN iaitu inisiatif inovatif yang mengetengahkan model kerjasama strategik antara industri dan akademia untuk meningkatkan produktiviti serta mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan universiti.
Beliau berkata KPT berharap selepas projek itu berakhir pada tahun depan, prototaip ataupun peralatan pencucian panel solar ini mampu dikomersialkan dalam skala besar.
Teks: Zamzami Rasidi/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 740