SMK PENANTI JUARA PROGRAM USAHAWAN MUDA KE-15
PULAU PINANG, 18 Jun 2013 - Syarikat PNT Intensive Dynasty Sdn. Bhd. yang diwakili oleh para pelajar Tingkatan 5 SMK Penanti merangkul 10 kejuaraan di dalam pertandingan Konvensyen Program Usahawan Muda (PUM) kali ke-15 di sini hari ini.
Mereka mempertaruhkan produk jam dinding yang dihasilkan daripada kain perca dan lebihan kain di bengkel jahitan di sekolah. Menurut pengurus syarikat, Nur Raimi Mohd Yusof ilham penghasilan jam ini menggunakan teknik jahitan 'patch work' yang biasanya digunakan untuk menghasilkan selimut atau alas kerusi.
"Jam ini telah terjual sebanyak lebih 40 unit dengan harga RM25 tanpa bingkai atau tambahan RM30 untuk bingkai. Rekabentuk, warna dan saiz boleh dibuat berdasarkan tempahan yang diterima," kata Raimi yang juga menerima Anugerah Pengurus terbaik mengalahkan 41 calon lain.
Majlis penutup dan penyampaian anugerah PUM telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato' Abdul Rahim Isahak.
"Program seperti ini adalah cetusan untuk menjadikan para pelajar usahawan yang berkaliber serta strategi untuk pembangunan ekonomi Negara. Program hari ini juga adalah usaha untuk memilih juara bagi mewakili Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan,” kata Rahim di dalam ucapan penutupan beliau.
Di samping itu, hiasan lampu daripada kulit kayu manis dianugerahkan produk terbaik. Produk ini adalah hasil kerja para pelajar SMK Permatang Tok Jaya dengan sokongan Pusat Pengajian Seni, USM. Produk ini dihasilkan dengan tiga kegunaan iaitu sebagai pewangi bilik, untuk kesihatan dan juga sebagai hiasan lampu.
Antara anugerah lain yang disampaikan adalah laporan tahunan terbaik, perkhidmatan terbaik, sorak kreatif terbaik, pengetua terbaik dan juga amalan 5S kiosk PUM terbaik. Pertandingan telah diadili oleh juri-juri professional yang diketuai oleh pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan, Prof. Madya Dr. Anees Janee Ali.
Kesemua sekolah yang bertanding perlu menerangkan mengenai syarikat daripada segi penubuhan, pembentangan produk, laporan tahunan, kewangan sehinggalah penutupan.
Pemenang membawa pulang piala dan wang tunai RM400 bagi juara, RM300 naib juara dan RM200 ketiga manakala syarikat terbaik memenangi RM600 dan piala. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa.
- Created on .
- Hits: 2505