USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

‘C-SAVIOR CAP’ BUAT PESAKIT KANSER: FAST IPPT RAIH TEMPAT KETIGA ANUGERAH BIDANG INOVASI PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN

Inovasi ini menyejukkan kulit kepala sebelum, semasa, dan setelah menjalani rawatan kemoterapi dalam kalangan pesakit kanser untuk mengurangkan kesan sampingan rawatan tersebut iaitu keguguran rambut.

SINTOK, KEDAH, 29 Oktober 2021  Kumpulan FAST dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya meraih tempat ketiga Anugerah Bidang Inovasi Penyampaian Perkhidmatan menewaskan 21 agensi awam dan IPTA yang lain di Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) secara dalam talian, anjuran Institut Pengurusan Kualiti, Universiti Utara Malaysia (IPQUUM).

C-SAVIOR_CAP.jpg

Kumpulan FAST (For Advanced Staffing in Technology) terdiri daripada Law Kim Sooi sebagai fasilitator bersama enam orang lagi peserta kumpulan iaitu Dr. Noor Khairiah Abd Karim (Ketua Kumpulan), Dr. Hasmah Hussin, Norsuraya Hassan, Norhaliza Abd Hamid, Suraya Hussain dan Ahmad Shaky Saidon berjaya meletakkan USM di tempat ketiga di belakang UUM selaku johan dan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah di tempat kedua.

Konvensyen yang diadakan selama dua hari iaitu pada 25-26 Oktober 2021 dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori Primer/Hibrid Bidang Projek: Inovasi Sosial/Inovasi Penambahbaikan dan kategori Projek: Penciptaan/Penambahbaikan.

Di konvensyen ini, kumpulan FAST telah berjaya menarik perhatian juri dengan mempersembahkan projek bertajuk ‘Menurunkan Suhu Kulit Kepala Untuk Mengurangkan Rambut Gugur’ di bawah bidang Inovasi Penyampaian Perkhidmatan di dalam kategori Inovasi Penciptaan.

Menurut Dr. Noor Khairiah A. Karim, projek inovasi FAST merupakan satu usaha untuk membantu pesakit-pesakit kanser yang kini sedang menjalani rawatan di IPPT, USM, yang mana pesakit kanser ialah jumlah pesakit tertinggi menerima rawatan di institusi ini.

Mengulas lanjut projek yang dihasilkan oleh kumpulan tersebut, beliau berkata C-savior Cap adalah inovasi yang dapat menyejukkan kulit kepala sebelum, semasa, dan setelah menjalani rawatan kemoterapi untuk mengurangkan kesan sampingan rawatan tersebut iaitu keguguran rambut.

“Pek gel ais khas dimasukkan ke dalam poket ‘C-savior Cap’ dan ia dapat mengekalkan suhu kulit kepala antara 12-20°C selama 30 minit pada suhu bilik. Dengan menurunkan suhu di kulit kepala, ia akan mengurangkan aliran darah ke folikel rambut dan seterusnya dapat mengurangkan risiko keguguran rambut,” jelas beliau.

Tambah Noor Khairiah, pelaksanaan projek ini telah memberi impak ketara dan positif dari segi emosi dan fizikal kepada pesakit kanser termasuklah meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan kos dalam menangani kekangan sumber kewangan dan sumber manusia, memanfaatkan keupayaan teknologi terkini dan memperkenalkan pendekatan penyampaian perawatan baharu kepada kakitangan dan pesakit (pelanggan).

“Dengan kejayaan pelaksanaan projek ini, ianya juga berjaya mendukung usaha untuk mencapai kelestarian alam sekitar global dengan menggunakan bahan kitar semula dalam penghasilan ‘C-savior Cap’ ini,” jelasnya lagi.

Selain itu, beliau menambah projek tersebut juga telah mendapat sokongan dan ulasan yang positif daripada Pegawai Perubatan dan juga Jurutera IPPT.

“Permohonan perlindungan Hak Cipta (Copyright Protection) telah dilakukan bagi melindungi harta intelektual Kumpulan FAST dan bagi perkembangan projek ini, Kumpulan FAST telah mengadakan perbincangan bersama Pengarah Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM) USM bagi tujuan mengkomersialkan ‘C-savior Cap’ ini ke hospital kerajaan dan swasta di hospital-hospital berdekatan,” kata beliau lagi.

Di konvensyen tersebut, FAST IPPT, USM berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 dan sijil pencapaian buat setiap peserta.

Teks: Md Hisham Abd Razak, Ketua Aktiviti KIK IPPT, Unit Farmasi Stor Perubatan Klinikal, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM/Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: IPPT, USM

  • Created on .
  • Hits: 541

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024