SEBAR LUAS HASIL PENERBITAN PENYELIDIKAN UNTUK MANFAAT SEJAGAT
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Oktober 2021 – Aktiviti penyelidikan dan pembangunan merupakan agen perubahan dan pertumbuhan sosio ekonomi yang perlu ditekankan kerana memberikan impak yang besar kepada negara.
Hasil penyelidikan yang dilaksana sewajarnya dapat digunakan sama ada melalui penjanaan ilmu dan teknologi baru, penerbitan, penghasilan paten, pembangunan produk dan penghasilan tenaga kerja mahir serta berpengetahuan tinggi.
Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, tidak semua hasil penyelidikan adalah penghasilan produk kerana terdapat juga penyelidikan yang menyumbang kepada penciptaan ilmu baharu, pemindahan ilmu, kesejahteraan sosial masyarakat serta memberi impak kepada kehidupan.
“Hasil penyelidikan perlu diterbitkan dan disebarluas ke segenap lapisan masyarakat kerana ia mampu memberi impak yang besar untuk meningkatkan kualiti hidup serta budaya baharu yang lebih baik kepada seluruh masyarakat.
“Salah satu kriteria pengukur prestasi penyelidikan adalah penerbitan saintifik sama ada melalui buku, bab di dalam buku, artikel di dalam jurnal, laporan rujukan teknikal, laporan kontrak, senarai paten dan lain-lain lagi. Kesemua penerbitan saintifik ini akan memberikan merit kepada penulis atau penyelidik dan akan lebih bernilai sekiranya mendapat pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan perasmian Simposium Pemerkasaan Penerbitan Penyelidikan USM secara maya menerusi platform Webex, anjuran Perpustakaan Hamdan Tahir, hari ini.
Tambah Shaiful, usaha bagi memperkasa penulisan dan penerbitan saintifik ini wajar dipertingkatkan supaya hasil dapatan kajian dapat disebar luas dan manfaat dapat dinikmati bersama.
“Dalam situasi negara berhadapan pandemik COVID-19 dan pembudayaan amalan norma baharu ini, tindakan yang lebih agresif, kreatif dan berinovasi amat diperlukan bagi menghasilkan penerbitan saintifik mengikut trend masa kini.
“Perpustakaan selama ini telah memainkan peranan utama dalam menyediakan akses kepada bahan sumber maklumat serta sokongan perkhidmatan yang diperlukan untuk pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan seiring dengan cabaran dan perkembangan semasa selain turut terlibat untuk mengumpul data penerbitan penyelidikan pensyarah, penyelidik dan pelajar USM.
“Saya juga percaya perpustakaan telah melunaskan tanggungjawab dengan baik untuk memberi pendedahan dan kesedaran berkaitan perkongsian data penyelidikan dalam aspek ‘Open Science’ di USM untuk mencapai agenda negara ke arah ‘Malaysia Open Science Platform’ (MOSP),” jelasnya lagi.
Shaiful yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpustakaan Kampus Kesihatan berharap agar semua pihak sama ada penyelidik, ahli akademik, pengurusan tertinggi Universiti, Pusat Pengajian dan Pusat Tanggungjawab memainkan peranan masing-masing kerana komitmen dan kerjasama dalam mengumpul data penerbitan penyelidikan akan memberikan impak kepada status USM sebagai salah sebuah Universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia.
“Besarlah harapan saya dan USM amnya agar simposium ini dijadikan medium untuk mengetengahkan penerbitan penyelidikan kerana saya percaya ilmu yang akan disampaikan memberi input yang berguna kepada semua pihak,” katanya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel
- Created on .
- Hits: 676