USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENSYARAH PERUBATAN PPSP GARAP PENGALAMAN PESAKIT DALAM PENULISAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 Oktober 2021  "Penulisan adalah minat saya dan saya akan terus menulis, berkongsi segala maklumat berkaitan perubatan agar masyarakat khususnya pesakit-pesakit saya memahami jenis penyakit serta situasi kehidupan mereka dengan penyakit yang sedang diharungi," demikian perkongsian Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain dalam Siri Syarahan Umum Kebangsaan yang diadakan menerusi platform Webex hari ini.

83E92161 77A2 43DB 9106 6316D699BB65

Penulisan beliau bermula usai kepulangan ke tanah air selepas menjalani subkepakaran bidang infertiliti dan endokrin reproduksi di Melbourne pada tahun 2006. 

Ianya bertitik tolak daripada kekurangan bahan bacaan berkaitan bidang perubatan dalam Bahasa Melayu bagi memberi kefahaman kepada masyarakat tentang sesuatu masalah yang berkaitan dengan kesihatan dan perubatan.

Demi merealisasi hasrat dan cita-cita, biarpun tanpa sebarang bimbingan secara formal, beliau mula menulis dan sanggup membelanjakan duit poket sendiri menerbitkan buku secara swaterbit berjudul Kemandulan: Halatuju, Cabaran dan Seribu Pengharapan dan Infertiliti: Langkah Demi Langkah dalam Teknik Bantuan Reproduktif.

Nik Hazlina yang juga merupakan Penyelaras, Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (UPKW) PPSP berkata, penghasilan karya-karyanya mula berkembang apabila mendapat bimbingan dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2008 dan diamanahkan mengetuai projek penulisan DBP-USM.

"Justeru, saya mengajak rakan-rakan termasuk pelajar-pelajar saya menyertai pelbagai bengkel penulisan dan ianya membuahkan hasil apabila pelbagai penulisan sama ada dalam bentuk artikel, buku ilmiah, buku umum, cerpen, novel serta karya kreatif berjaya dihasilkan.

"Banyak kejayaan dan anugerah saya kecapi hasil penulisan buku antaranya anugerah Citra Sahabat DBP, hadiah utama Karya Ilmiah Peringkat Kebangsaan dari Kementerian Pendidikan Malaysia, Anugerah Penulisan Sains dan Teknologi Terbaik, Anugerah Buku Perubatan Terbaik kategori Pengajian Tinggi di Anugerah Buku Negara, Anugerah Sanggar Sanjung kategori penerbitan buku dan juga ketokohan dan turut dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2017 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia serta Tokoh Pendidikan Wanita Kelantan 2019.

"Saya sangat berterima kasih kepada pesakit-pesakit saya kerana mereka adalah sumber inspirasi apabila mereka menyimpan nota-nota ringkas yang saya tulis di helaian kertas sewaktu melakukan pemeriksaan kesihatan mereka dan mereka lebih faham serta menjadikan nota-nota tersebut sebagai semangat untuk mereka melawan penyakit," ujarnya semasa ditemu bual.

Tambahnya, sehingga kini beliau telah menerbitkan lebih daripada 30 judul buku berwasit bacaan umum, dua (2) judul buku ilmiah, lima (5) judul novel bertemakan perubatan dan kesihatan, beberapa bab dalam buku, rencana di laman sesawang dan lebih 500 rencana di media massa.

"Saya mengharapkan agar para ilmuan dan ahli akademik mengambil inisiatif mengetengah dan mendaulatkan Bahasa Melayu dalam penulisan bagi meningkatkan pemahaman masyarakat khususnya golongan terkebawah berkaitan bidang kesihatan dan perubatan sebagai ilmu tambah," katanya lagi.

Nik Hazlina juga berharap agar kepimpinan universiti di negara kita meningkatkan inisiatif dan mengiktiraf karya berbentuk popular (separa ilmiah dan karya kreatif bertemakan ilmu bidang) bagi memberi motivasi kepada ahli akademik dan secara tidak langsung ekosistem pembangunan ilmu dapat dikekalkan di samping pemindahan ilmu tinggi daripada penyelidikan di menara gading dapat disalurkan kepada masyarakat awam.

Beliau berkongsi pengalaman sepanjang terlibat dengan penulisan dalam program Siri Syarahan Umum Kebangsaan, dengan tajuk 'Mendaulatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Dalam Bidang Sains Perubatan Dan Kesihatan' anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM sempena Dekad Bahasa Kebangsaan 2021.

Program tersebut turut dilayari oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Dr. Narimah Samat; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pemangku Dekan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong; dan Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi & Libatsama Industri-Komuniti, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman & UKAST TV

  • Created on .
  • Hits: 618

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024