USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BAKAL BERGELAR DOKTOR PERUBATAN, 113 PELAJAR PPSP DIRAI

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Oktober 2021 – Seramai 113 pelajar Program Doktor Perubatan daripada Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) bakal menamatkan pengajiannya selepas lima (5) tahun berjuang melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi seorang doktor perubatan.

7E02F329 C3F2 4F8B 9BBC 20DA849B1748

Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, bagi pihak pusat pengajian dan pengurusan Kampus Kesihatan khususnya dan USM amnya, beliau dengan bangganya melepaskan kumpulan ke-36 pelajar perubatan untuk memberikan khidmat dan sumbangan kepada masyarakat.

“Perjalanan belajar sebagai doktor perubatan tidak pernah berakhir kerana hari ini anda mungkin menamatkan pengajian anda, tetapi ini merupakan permulaan dalam kerjaya anda.

“Walaupun banyak ilmu yang telah ditimba sepanjang bergelar pelajar, saya percaya anda semua akan sentiasa mendapat ilmu baharu yang akan ditemui dalam amalan harian apabila sudah bekerja nanti dan dari pengalaman serta penemuan itulah yang akan menuntut anda menjadi seorang pegawai perubatan yang lebih baik,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis ‘White Coat Ceremony and Awards 2021’ yang diadakan secara maya menerusi aplikasi Webex, hari ini.

Tambah Shaiful, beliau berharap agar para mahasiswa sentiasa merebut peluang dalam kerjaya mereka untuk bergelar pakar dengan menghadiri kursus atau persidangan, mengikuti latihan khusus dan menjadi pengajar.

“Kerjaya dalam bidang perubatan adalah profesyen yang sangat mencabar dan anda semua pastinya tidak mampu tidur lena namun saya berharap agar mahasiswa USM akan terus seimbang seperti nilai HEBAT (H-Holistik, E-Entrepreneurial, B-Balanced, A-Articulate, T-Thinking) yang telah dilaksanakan dalam program perubatan ini. 

“Ini adalah masa untuk menerapkan kemahiran dalam komunikasi, pengurusan masa dan kerja berpasukan yang telah anda pelajari di wad, ko-kurikulum dan aktiviti kesukarelawanan. Kami berharap agar anda semua mengutamakan etika dan profesionalisme sebagai nilai tertinggi dalam pekerjaan harian anda,” jelasnya lagi.

38A9020A 46D3 427C 949E 773A7E93CA97

Sementara itu, Dekan PPSP, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman pula berkata, penganjuran Majlis ‘White Coat Ceremony and Awards 2021’ adalah tradisi PPSP sejak tahun 2012 dengan visinya 'Medicine For Sustainable Tomorrow'.

“PPSP berharap agar acara seperti ini tidak hanya berfungsi sebagai platform untuk meraikan kumpulan baharu doktor perubatan, tetapi juga memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk meneruskan pertempuran mereka dalam program perubatan hingga ke peringkat akhir. 

“Untuk semua mahasiswa yang diraikan, tahniah kerana berjaya mencapai tahap ini. Saya berharap anda dapat merealisasikan harapan dan impian ibu bapa anda seterusnya melangkah ke peringkat yang lebih tinggi dalam sistem penjagaan kesihatan.

“Saya juga berharap agar anda semua dapat bertahan dalam latihan seterusnya menjadi pakar yang terkenal. Walau di mana anda berada dan sehebat mana pun anda, jangan lupa ikuti cogan kata PPSP USM iaitu menjadi seorang yang profesional dan penyayang,” katanya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood.

  • Created on .
  • Hits: 709

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024