USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERJUMPAAN PERTAMA PENGARAH KAMPUS DENGAN PELAJAR BAHARU DIADAKAN SECARA MAYA

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Oktober 2021  "Tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang terpilih masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM) dan terima kasih kerana memilih USM," demikian kata Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail semasa sesi taklimat pelajar baharu yang diadakan secara maya hari ini.

6551a019 d23d 4e3f a43e c5c4f48d3a99

"Kalau ikutkan kebiasaan permulaan Sidang Akademik (SA), hari ini kami akan sibuk menyambut kedatangan pelajar-pelajar baharu mendaftar masuk tetapi disebabkan kekangan pandemik COVID-19, semuanya berubah dan kita hanya dapat bersua di alam maya sahaja buat masa ini.

"Situasi sebegini mungkin tidak berpanjangan dan diharapkan agar pelajar dapat masuk ke kampus pada semester dua nanti," ujar beliau.

Dalam taklimat yang disampaikan, Shaiful turut berkongsi maklumat berkenaan pusat-pusat pengajian, perkhidmatan serta keistimewaan yang terdapat di kampus di samping memperkenalkan barisan Pengurusan Tertinggi Kampus Kesihatan sebagai gambaran awal kepada pelajar-pelajar sebelum mereka masuk ke kampus nanti.

Tambah Shaiful, biarpun tidak dapat mengikuti proses pembelajaran secara bersemuka, beliau mengharapkan agar pelajar dapat mengikuti pengajian dengan baik sehingga keadaan pulih dan semua pelajar-pelajar baharu dapat masuk untuk menikmati keseronokan belajar di Kampus Kesihatan.

bb47324f 6b91 435d 8018 d1952ee603a7

"Pengurusan Kampus Kesihatan sentiasa bersedia menerima kedatangan anda semua untuk bersama-sama dalam menjalankan pelbagai aktiviti termasuk bersinergi dengan warga staf bagi merealisasikan aktiviti kelestarian kampus.

"Walaupun pendaftaran kemasukan secara dalam talian, ada kemungkinan pelajar akan dipanggil masuk ke kampus untuk pembelajaran secara bersemuka apabila keadaan bertambah baik. Akan tetapi jika ada mana-mana pelajar yang menghadapi masalah talian internet di rumah, mereka boleh membuat permohonan untuk masuk ke kampus sebagaimana biasa," ujar beliau lagi.

Turut hadir dalam sesi taklimat tersebut adalah Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Hafiz Assad Zakaria serta Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL).

Bagi pengambilan SA 2021/2022, seramai 580 pelajar akan mendaftar sebagai pelajar USM Kampus Kesihatan pada 18 Oktober 2021 di tiga pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK).

Teks & Foto: Lailatul Hafiza Abdul Rashid

  • Created on .
  • Hits: 385

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024