PENDAFTARAN NORMA BAHARU, CALON PELAJAR KEJURUTERAAN JALANI UJIAN WAJIB RTK-Ag SEMASA PENDAFTARAN
NIBONG TEBAL, 17 Oktober 2021 – Sejumlah 151 pelajar mendaftar di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) pada sesi kemasukan sidang akademik 2021/2022 yang diadakan secara norma baharu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) di sini hari ini.
Sepanjang proses pendaftaran, semua pelajar wajib menjalani Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) COVID-19 dan hanya waris terdekat sahaja yang dibenarkan untuk menghantar sehingga ke bahagian pendaftaran desasiswa sebelum diambil alih sepenuhnya oleh pihak pengurusan desasiswa serta Pembimbing Pelajar Siswa Lestari (PPSL).
Menurut Siti Fatimah Rahim, 19, dari Sarawak, walaupun baru menyertai USM, beliau yakin dalam kemampuan dirinya untuk menyesuaikan diri dengan setiap SOP serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak universiti termasuk sesi pembelajaran nanti sama ada secara bersemuka atau secara dalam talian.
“Saya pernah menjalani dua sesi pembelajaran yang berbeza ketika menyambung pelajaran di Selangor sebelum ini,yang mana pada tiga bulan pertama kami belajar secara bersemuka dan selebihnya secara dalam talian akibat tercetusnya pandemik COVID-19,” kata Fatimah.
Walaupun perlu mematuhi peraturan serta SOP yang ketat melalui sesi pendaftaran hari ini, ia juga tidak mendatangkan masalah buat pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral ini kerana sudah terbiasa dengan situasi yang sama sejak dari matrikulasi lagi.
Berlainan pula dengan Dinahgaran a/l Balakrishnan, 19, dari Johor yang lebih kepada teruja untuk mengikuti pengajian beliau di universiti ini dan seterusnya mengejar cita-cita untuk menyambung pendidikan sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) kelak.
“Minat dalam bidang kejuruteraan terutamanya kejuruteraan kimia sudah terpupuk sejak kecil lagi memandangkan ayah saya terlibat secara langsung dalam penghasilan serta ciptaan sabun,” kata Dinahgaran yang akan menyambung pengajian di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.
“USM sejak dari mula memang menjadi pilihan pertama saya dalam sistem permohonan UPU dan ia disokong oleh perkongsian guru-guru tentang pencapaian serta kedudukan universiti ini sebagai salah satu daripada universiti terbaik di Malaysia,” tambahnya.
Bagi Tan Lee Hua, 56, dari Bukit Mertajam yang merupakan ibu kepada pelajar, Lee Wei We, 21, walaupun risau dengan situasi semasa COVID-19 yang membimbangkan, dia tetap gembira kerana anaknya diterima masuk ke universiti ini di dalam bidang kejuruteraan bahan.
“Saya bersikap terbuka bagaimana pembelajaran anak saya di universiti ini akan dilaksanakan nanti.
“Namun, jika ditanya pendapat sebagai seorang ibu, saya berbesar hati sekiranya ia diteruskan secara dalam talian kerana keselamatan pelajar-pelajar ini akan lebih terjamin di samping dapat mengekang penularan jangkitan,” katanya.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 606