USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENTING URUS KRISIS PSIKOLOGI SECARA HOLISTIK DI ERA PANDEMIK

USM PULAU PINANG, 17 Oktober 2021-- Wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara kita bukan sahaja memberi kesan sangat besar kepada sistem politik, ekonomi, sosial, kesihatan dan pendidikan negara,bahkan impaknya turut membabitkan institusi keluarga sehingga kepada aspek dalaman psikologi dan kesejahteraan diri manusia, dan hal ini perlu diberi tumpuan dan diuruskan secara holistik.

imageedit 4 3602716437

Demikian kata Pengerusi Rancangan Sarjana Kaunseling dan Pensyarah Psikologi Kaunseling, Pusat Pengajian Ilmu PendidikanUniversiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Nor Shafrin Ahmad, ketika mengupas isu krisis psikologi dan masalah kesihatan mental sebagai penceramah jemputan dalam sesi bertajuk ‘Pengurusan Krisis Psikologi di Era Pandemik’, sempena Seminar Kaunseling Kebangsaan USM 2021baru-baru ini.

Sesi tersebut dikendalikan oleh moderatorPegawai Psikologi Kanan, Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Ahmad Anwar Omar dan berlangsung secara dalam talian pada 14 Oktober 2021 yang lalu.

Menurut Nor Shafrin, masalah mental perlu ditangani secara psikologi memandangkan masalah tersebut akan berlaku di luar jangkaan dan sukar ditangani dengan daya tindak biasa.

slot2

“Intensiti dan kesan krisis berbeza bagi setiap individu, bergantung kepada persepsi, daya tindak, daya tahan, penyelesaian masalah dan sebagainya.

"Krisis juga menjadi ancaman yang menyebabkan diri tidak stabil, bercelaru secara psikologi, serta fungsi normal seharian terganggu seperti hilang kawalan dalam melakukan sesuatu," katanya.

Menurutnya lagi, kes bunuh diri juga meningkat dari tahun 2019 hingga Mei 2021 iaitu sebanyak 1,738 kerana berpunca dari masalah keluarga, kewangan dan tekanan perasaan.

Justeru katanya, pengurusan krisis psikologi ini amat penting dan perlu diberi penekanan oleh setiap individu supaya ia tidak berlarutan sehingga mewujudkan masalah di dalam sesebuah institusi keluarga.

slot3

“Berdasarkan laporan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 10 Oktober, seramai 4,696 orang menjadi anak yatim atau yatim piatu apabila kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 dikenal pasti di seluruh negara setakat bulan September 2021. Hal ini boleh menyebabkan terjadinya krisis psikologi kepada mereka yang terkesan.

"Kaedah sistematik diperlukan untuk menangani krisis seumpama ini, iaitu mengambil pendekatan mengurus dengan mengenalpasti dan mengatasi/menyelesaikan krisis melalui pelan yang dirangka.

Fokus perkara utama iaitu memulihara, menjimatkan tenaga fizikal dan emosi. Mustahak juga untuk mendapatkan sokongan dengan memberi fokus kepada pelbagai sumber," ulasnya lanjut.

Seminar Kaunseling Kebangsaan USM 2021 anjuran Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, USM diadakan secara dalam talian pada 13 dan 14 Oktober lalu menampilkan tujuh slot forum/diskusi untuk mengupas isu penting kesihatan mental di era pandemik pada masa kini.

Siaran ulangan seminar ini boleh diikuti melalui Facebook: Perkhidmatan Perundingan dan Kaunseling Staf USM di pautan https://www.facebook.com/kaunselorstafusm.

Teks & Foto: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop

  • Created on .
  • Hits: 2921

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024