ICENV-RCEnvE 2021 ANJURAN PPKK SASAR PERKONGSIAN KOLEKTIF PEMBANGUNAN LESTARI GLOBAL
NIBONG TEBAL, 14 Oktober 2021 – Persidangan alam sekitar, 7th International Conference on Environment 2021 (ICENV2021) dan 14th AUN/SEED-Net Regional Conference on Environmental Engineering 2021 (RCEnvE2021) anjuran Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK), Universiti Sains Malaysia (USM) memberi peluang kepada semua pihak untuk berkongsi pembangunan lestari global secara kolektif menggunakan skala yang lebih besar.
Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed ketika merasmikan persidangan secara dalam talian di sini baru-baru ini, ia juga diharap dapat memperbaiki tujuan serta komitmen semua pihak ke arah pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan yang berkualiti.
“Sebagai sebahagian daripada rancangan keseluruhan USM untuk menangani agenda kelestarian, terutama kesejahteraan sosio-ekonomi golongan terkebawah 'bottom billion' dan pemerkasaan bakat masa depan, kami telah menubuhkan beberapa pusat penyelidikan demi fokus yang lebih besar dalam usaha mencari jawapan serta penyelesaian kepada masalah berkaitan kesihatan dan kesejahteraan,” katanya.
“Bagi bidang pendidikan pula, sebagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kita memiliki kewajipan bersama untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat disalurkan secara adil termasuklah mempromosikan peluang pembelajaran seumur hidup kepada semua seperti yang dinyatakan dalam Matlamat Pembangunan Mampan ke-4 (SDG4),”
“Malah, program pendidikan USM juga meletakkan keupayaan pembelajaran sepanjang hayat sebagai objektif atau keutamaan kerana ini berupaya memastikan pengetahuan, kemahiran serta sikap graduan yang dilahirkan berkembang seiringan,” kata Rahman lagi.
Menurut Setiausaha persidangan, Dr. Azam Taufik Bin Mohd Din dari PPKK, ICENV2021 dan RCEnvE2021 adalah kesempatan terbaik pusat pengajian serta universiti ini dalam membincangkan serta menangani agenda kelestarian untuk generasi masa depan.
“Persidangan kali ini lebih bermakna bagi kami selaku penganjur memandangkan USM sedang mendahului agenda kelestarian dalam kalangan masyarakat global setelah diiktiraf sebagai universiti lestari terbaik di Malaysia di kedudukan #39 oleh Times Higher Education (THE) University Global Impact Rankings 2021,” kata beliau.
“Walaupun berdepan dengan penangguhan akibat pandemik pada tahun lepas, kami berjaya melaksanakan penganjurannya tahun ini dengan penglibatan 101 orang peserta,yang mana 40 peratus daripada jumlah tersebut adalah dari kalangan peserta antarabangsa,” kata Azam.
“Malah, melalui persidangan kita kali ini berjaya mendapat dua jurnal terbitan khas iaitu Chemical Engineering & Technology (Wiley Q3) dan Environmental Science & Pollution Research (Springer Q2/SCOPUS),” tambahnya.
Selain Dr. Brigitte Vigolo dari Universite’ De Lorraine sebagai pengucaptama, persidangan kali ini juga berjaya membawakan penceramah plenari seperti Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad (USM), Profesor Dr. Ruey-An Doong (National Tsing Hua University), Dr. Nurul Muiz Murad (Ecodwell Ventures (M) Sdn. Bhd.) dan Amanina Mohamad Rozi (Chevron Malaysia Limited).
Diadakan secara dalam talian dari 6 hingga 7 Oktober baru-baru ini, ICENV2021 merupakan forum yang mengumpulkan para saintis, jurutera, pendidik, pakar alam sekitar dan pelajar dari seluruh dunia untuk berkongsi penemuan penyelidikan terbaharu sambil bertukar maklumat mengenai penyelidikan masing-masing kepada semua yang terlibat.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Jawatankuasa RCEnvE2021 dan ICENV2021
- Created on .
- Hits: 2583