USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, MBM PULAU PINANG METERAI MOU KOLABORASI PENYAMPAIAN ILMU PERNIAGAAN TERKINI

USM PULAU PINANG, 6 Oktober 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui penglibatan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Alumni Majlis Belia Malaysia Negeri Pulau Pinang (MBMPP) pada 2 Oktober lalu bersempena Majlis Pelancaran Klinik Perniagaan Digital secara dalam talian (Webex).

1ed97236 0b88 402f a1fe 5bf761c5bc18

Kerjasama persefahaman itu dimeterai untuk menyampaikan ilmu perniagaan terkini dalam memberi manfaat kepada masyarakat dan peniaga kecil di samping menyediakan ruang dan peluang untuk pembelajaran sepanjang hayat kepada komuniti.

Selain itu, ia juga membolehkan kedua-dua pihak membentuk kerjasama dengan integriti bersifat tinggi dari sudut perkongsian ilmu atau penyelidikan bagi menyumbang kepada pembangunan negara serta jaringan akademik.

Dalam ucapannya, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Mansor Haji Othman berkata, Klinik Perniagaan Digital ini merupakan salah satu usaha yang sangat baik untuk memperkasakan golongan alumni belia di Pulau Pinang dengan ilmu keusahawanan khususnya melalui penggunaan teknologi digital yang akan memberikan nilai tambah dalam urusan perniagaan kelak.

“Inisiatif sebegini adalah Tanggungjawab Sosial Universiti (University Social Responsibility, USR) terhadap masyarakat, terutamanya USM yang merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam yang berpremis atas dasar sebagai agen pembangunan negara dan selaras dengan Dasar Pengajian Tinggi Negara untuk mentransformasikan komuniti ke arah pembangunan yang mampan dan lestari.

“Saya yakin dan percaya USM sebagai sebuah universiti lestari boleh mengetengahkan konsep ‘Sustainopreneurship’ kepada para usahawan yang hadir, dan para peserta harus menggunakan peluang ini untuk menimba ilmu keusahawanan daripada pakar GSB, USM,” tambah beliau.

Dekan GSB USM, Profesor Dr. Azlan Amran pula berkata, beliau berpendapat bahawa Klinik Perniagaan Digital merupakan platform yang terbaik untuk para peserta membina jaringan dalam berkongsi idea, pengalaman dan daya penyelesaian masalah semasa yang mereka hadapi.

“Kita sedia maklum kesan pandemik telah menyebabkan kebergantungan dan penggunaan perniagaan dalam talian semakin meningkat, dan saya menjangkakan keadaan ini mungkin akan berterusan dan menjadi satu trend baharu yang akan kekal bersama kita nanti,” katanya.

151d5225 c37e 4f3d b5ad d3012b6455b4

Sementara itu, Pengerusi Alumni MBM Pulau Pinang, Tuan Haji Azizan Haji Md Zain berkata, Alumni MBM Negeri Pulau Pinang mengambil inisiatif bekerjasama dengan USM sebagai langkah permulaan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan di dalam perniagaan dalam talian.

Harapan Azizan agar kursus ini akan berlangsung dengan jayanya dan mencapai objektif seperti yang disasarkan serta para peserta bijak mengatur langkah yang strategik melalui program usahawan digital dalam merentasi cabaran ekonomi yang akan datang.

Turut hadir ke sesi ini, Timbalan Pengerusi Alumni MBM Negeri Pulau Pinang, Tuan Haji Mohamed Sabri bin Alianas; barisan ahli jawatankuasa Alumni MBM Pulau Pinang, serta pensyarah dan staf Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Mohd Hafiz Ali bin Mohd Anuar

  • Created on .
  • Hits: 472

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024