PERKONGSIAN PEJUANG PESAKIT MENTAL: KEMURUNGAN, MASIH ADAKAH HARAPAN?
“Pesakit mental perlu terus berjuang, jangan berhenti untuk mencari sokongan serta dapatkan rawatan pakar sekiranya perlu.” - pejuang pesakit mental
USM PULAU PINANG, 15 Oktober 2021 -- Secara asasnya, untuk berasa sedih, murung, terkilan, kecewa dan sebagainya merupakan satu perasaaan ataupun reaksi yang normal, terutamanya apabila berhadapan dengan pelbagai berita sedih ataupun berlakunya sesuatu perkara yang tidak diingini, namun kemurungan dari konteks klinikal, perubatan, psikiatri dan psikologi membawa maksud atau definisi yang lebih spesifik dan berbeza.
Demikian jelas Pakar dan Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Kulim, Kedah, Dr. Nurul Nadia Ismail, ketika mengupas tentang isu kesihatan mental sebagai panel jemputan dalam sesi forum bertajuk ‘Kemurungan, Masih Adakah Harapan?’ sempena Seminar Kaunseling Kebangsaan Universiti Sains Malaysia (USM) 2021, anjuran Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, USM.
Forum tersebut turut menampilkan Khadijah Nadiah Abd Raman, seorang pejuang pesakit kemurungan sebagai ahli panel dengan Penolong Pendaftar Kanan (Kaunselor), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kampus Kejuruteraan USM, Norzita Nanyan sebagai moderator.
Menurut Nurul Nadia, kemurungan klinikal atau 'Major Depressive Disorder' merupakan salah satu penyakit atau kecelaruan kesihatan mental yang utama yang didefinisikan sebagai mempunyai simptom seperti kehadiran perasaan murung, sedih, hiba dan pilu selama lebih 14 hari pada kebanyakan masa atau secara berturut-turut dan kehilangan minat untuk berbuat sesuatu (loss of interest).
“Secara saintifik dan klinikalnya, punca kemurungan melibatkan faktor dari segi biologi, psikososial dan individu yang berpenyakit kronik, dan adalah penting untuk kita ketahui dan memahami apakah faktor pelindung yang boleh menyebabkan kemurungan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa adalah penting untuk individu yang mempunyai simptom kemurungan dan 'anxiety' untuk berjumpa dengan pakar psikiatri dan mendapatkan rawatan jika perlu, selain mengelakkan daripada mendiagnos diri sendiri berdasarkan kaji selidik atau menjawab soalan berkaitan kesihatan mental di mana-mana laman sesawang di internet sahaja.
Selain itu, sebagai seorang doktor terapi, Nurul Nadia berkata pesakit penyakit kemurungan masih mempunyai peluang untuk sembuh sepenuhnya jika pesakit meneruskan rawatan dengan pengambilan ubat secara tetap dan terus menghadiri sesi konsultasi.
“Kajian menunjukkan dalam masa lima tahun, bermulanya dengan seseorang itu menghidap penyakit kemurungan, peratusan untuk sembuh selepas rawatan adalah sebanyak 90 peratus; ini menunjukkan jika pesakit mendisiplinkan diri dengan mengambil ubat dan meneruskan konsultasi atau terapi yang ditetapkan, kebarangkalian untuk sembuh sepenuhnya adalah sangat tinggi dan sama seperti sakit fizikal yang lain, sakit mental juga memerlukan rawatan,” jelasnya.
Sebagai seorang pejuang pesakit mental, Khadijah berkata adalah amat sukar untuk beliau melalui hari-hari biasa sebagai seorang pelajar sehingga ianya menganggu pembelajaran dan mempunyai masalah untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.
Beliau pada mulanya didiagnos dengan penyakit 'adjustment disorder' akan tetapi diagnosis dan rawatan mula berubah akibat tidak mengikuti rawatan psikoterapi yang ditetapkan; sakit itu berterusan sehinggalah beliau komited dengan rawatan pakar dan akhirnya beliau disahkan menghidap penyakit 'Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)'.
Sepanjang perjalanan Khadijah sebagai pejuang pesakit ADHD, beliau berkata diagnosis pertama yang dilakukan oleh pakar psikiatri pada pertama kalinya adalah dengan menceritakan kembali segala trauma yang pernah berlaku dalam hidup dari zaman kanak-kanak hinggalah sekarang dan tanpa sedar, beliau sebenarnya mempunyai masalah Neurodevelopment (Perkembangan Saraf) sejak kecil.
“Sebagai seorang pelajar, sewaktu saya dalam fasa kemurungan, saya berasa saya berada dalam mod kelabu, yang mana di sekeliling saya berwarna kelabu, terasa suram dan sedih berpanjangan tanpa sebab sehingga saya terpaksa menangguhkan pelajaran saya.
“Salah satu cabaran yang saya hadapi sepanjang pandemik ini ialah masalah sebagai pelajar tahun akhir, di mana saya perlu menyiapkan tugasan tesis yang memerlukan saya untuk turun padang ke kerja lapangan.
“Akan tetapi disebabkan pandemik yang berlaku, saya terpaksa melakukannya secara dalam talian dan hal sebegini menyebabkan saya bertambah tertekan kerana saya mempunyai masalah tidak tahu membahagikan masa dan menyusun jadual;mujur dengan bantuan pakar psikiatri, saya dibimbing supaya lebih fokus untuk menyusun perkara-perkara penting,” kata Khadijah.
Tambahnya, perkara yang mendorong beliau untuk keluar dari masalah mental ini adalah pilihan diri beliau sendiri dan dengan bantuan pakar profesional dari segi rawatan terapi dan perubatan, sokongan daripada ahli keluarga dan rakan sekeliling, beliau akhirnya bebas dari menjadi pesakit mental.
“Antara kaedah rawatan yang diberikan oleh pakar psikiatri ialah rawatan dari segi perubatan dan psikoterapi dan rawatan tersebut haruslah diikuti secara konsisten walaupun ubat yang diberikan mempunyai beberapa kesan sampingan dan memerlukan masa untuk saya menyesuaikan diri dengan ubat yang diberikan itu,” jelasnya.
Pesan Khadijah kepada semua pesakit mental adalah untuk terus berjuang, jangan berhenti untuk mencari sokongan serta dapatkan rawatan pakar sekiranya perlu.
Seminar Kaunseling Kebangsaan USM 2021 yang bertemakan ‘Isu dan Cabaran Pandemik COVID-19’ berlangsung selama dua hari (13-14 Oktober 2021) dan disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial Facebook Live Perkhidmatan Perundingan dan Kaunseling Staf USM.
Seminar yang julung kali diadakan itu bertujuan meningkatkan pengetahuan serta maklumat berkaitan Isu Kesihatan Mental, Perkembangan Psikologi Anak-Anak, Kekeluargaan, Integriti dan Pengurusan Krisis dalam Era Pandemik.
Ia terbuka kepada segenap lapisan masyarakat termasuk warga kampus, kaunselor-kaunselor berdaftar, mahasiswa Universiti Awam dan Universiti Swasta serta orang awam.
Selain sesi yang dinyatakan di atas, terdapat 6 lagi sesi forum dan diskusi yang menampilkan ahli panel jemputan yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang Kaunseling, Psikologi dan Psikiatri, dengan ucaptama program disampaikan oleh Pendaftar USM, Dr. Musa Ali.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 6428