TURUN PADANG, KATA PENGERUSI LGU
Kota Bharu, 17 Jun - Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU) Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan meminta agar menjadikan turun padang sebagai satu amalan untuk memastikan kecemerlangan Universiti dapat diteruskan oleh seluruh warga.
"Dengan amalan turun padang kita dapat bersama-sama berganding bahu dan melihat sendiri setiap proses kerja yang dilakukan untuk lebih memahami, merasai malah menjiwai apa yang dilaksanakan oleh sesuatu jabatan," kata Zulkefli ketika berucap di Majlis Penganugerahan Perkhidmatan Tahunan USM yang meliputi Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Sanjungan Budi dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang berlangsung di sebuah hotel di sini.
Menurut Zulkefli lagi, amalan turun padang ini juga berupaya untuk mengatasi banyak masalah komunikasi mahu pun persepsi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang ada.
Terdahulu, dalam ucapannya Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman merakamkan penghargaan kepada semua pesara dan mereka yang telah lama berkhidmat dengan universiti di samping tahniah kepada semua yang dianugerahi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.
"Pada masa yang sama Universiti akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membantu warga yang mendapat markah purata Laporan Penilaian di bawah daripada 70% untuk terus menyumbang kepada universiti termasuk mengadakan makmal-makmal khas dalam masa yang terdekat," kata Omar.
Pada tahun ini seramai 40 orang staf bersara diraikan dalam Anugerah Jasamu Dikenang, 104 orang menerima Anugerah Sanjungan Budi dan 375 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Kampus Kesihatan.
Turut hadir ialah ahli-ahli LGU dan pegawai-pegawai utama USM yang lain.
- Created on .
- Hits: 1603