USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SIAP SEDIA TERIMA KEMASUKAN PELAJAR SECARA BERPERINGKAT KE KAMPUS UNTUK SA 2021/2022

USM PULAU PINANG, 12 Oktober 2021 -- Universiti Sains Malaysia (USM) sudah bersedia menerima kemasukan hampir 5,100 pelajar secara fizikal ke ketiga-tiga kampusnya bagi memulakan Sidang Akademik 2021/2022, bermula 15 Oktober (Jumaat) ini.

Pembukaan semula itu selaras dengan kenyataan rasmi yang diumumkan pada 14 September 2021 oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkenaan kemasukan pelajar ke kampus institusi pendidikan tinggi (IPT) secara berperingkat.

E0843520 79A7 4EC1 94D9 2C4B2D5B6225

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah dalam satu kenyataan kepada pelajar bertarikh 15 September 2021 berkata, USM menyambut baik pengumuman tersebut, dan proses kemasukan pelajar ke Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dan Kampus Kesihatan Kubang Kerian akan dilaksanakan secara berperingkat dengan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT.

Katanya, kemasukan pelajar ke kampus akan melibatkan semua kategori pelajar dari pelajar baharu tahun pertama kepada pelajar senior tahun empat, dan semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), dengan keutamaan diberikan kepada pelajar yang berkeperluan.

Tegasnya, hanya pelajar yang telah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin dibenarkan masuk ke kampus.

“Bagi pelajar berkeperluan yang masih belum lengkap vaksinasi, dinasihatkan supaya segera melengkapkan proses vaksinasi melalui kemudahan walk-in yang disediakan oleh PPV.

“Jika sekiranya terdapat pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan (pengesahan oleh doktor perubatan hospital/klinik kerajaan), pelajar boleh menghubungi pihak Universiti untuk tindakan penyelarasan,” jelas Aldrin.

Menurut beliau lagi, untuk memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pelajar terjamin, pergerakan pelajar untuk kembali ke kampus hanya dibenar menggunakan kaedah berikut iaitu:i) kenderaan sendiri; ii) pengangkutan udara / kapal terbang; iii) dihantar oleh keluarga (ibu bapa atau penjaga) yang telah lengkap dua (2) dos vaksin; iv) berkongsi kenderaan berdasarkan kapasiti yang ditetapkan di mana pemandu dan penumpang telah lengkap dua dos vaksin.

Turut dinyatakan dalam kenyataan tersebut ialah pihak USM akan menyediakan surat kebenaran pelajar kembali ke kampus yang boleh digunakan sebagai dokumen iringan semasa bergerak merentas negeri ke USM.

Panduan kemasukan pelajar yang rapi dan terperinci ke kampus USM boleh dirujuk dalam laman web rasmi Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) di hepa.usm.my dan laman web Bahagian Pengurusan Akademik (BPA) di pohon.usm.my.

Sidang Akademik 2021/2022 USM akan bermula pada 25 Oktober 2021, dan dalam menghadapi suasana pandemik COVID-19 yang berterusan, USM terus beriltizam dan berusaha untuk menyediakan platform terbaik dalam aspek pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan Sidang Akademik 2021/2022 berjalan lancar dan diteruskan dalam norma pembelajaran baharu.

USM menerapkan kaedah pendekatan Pembelajaran Teradun (Blended Learning) atau secara hybrid iaitu kombinasi pengajaran dan pembelajaran secara “face-to-face” dan “online teaching” malahan USM turut bersedia 100% dengan sistem pembelajaran secara dalam talian, mengikut ketetapan oleh pusat pengajian masing-masing.

“Diharapkan semua pelajar akan mematuhi SOP yang telah ditetapkan pihak Universiti bagi mengelakkan berlaku penularan COVID-19 khususnya dalam kalangan pelajar dan staf.

“Ibu bapa tidak perlu gusar dan khuatir akan keselamatan anak-anak mereka kerana USM akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan para pelajarnya terjaga,” katanya lagi.

Teks: Tan Ewe Hoe/Sumber: Hebahan rasmi TNC HEPA USM, 15 September 2021

  • Created on .
  • Hits: 913

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024