USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR DINASIHATKAN PATUH SOP DALAM KESERONOKAN KEMBALI KE KAMPUS

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Oktober 2021 – “Dalam keseronokan mendaftar masuk ke Kampus Kesihatan, para pelajar dinasihatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mana hanya pelajar lengkap divaksinasi sahaja dibenarkan untuk berada di dalam kawasan Kampus Kesihatan,kata Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.

Menurutnya, Kampus Kesihatan USM menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi bahawa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melaksanakan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berperingkat bermula 15 Oktober 2021.

“Kampus Kesihatan USM juga telah bersedia untuk menerima kemasukan pelajar tahun dua (2), tiga (3), empat (4) dan lima (5) daripada Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) dan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dan pelajar tahun satu (1) Diploma Kejururawatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) secara berperingkat bermula 15 Oktober sehingga awal tahun 2022.

A0566337 42BD 4E3F BFA1 BFC2D6351E36

“Mewakili pihak pengurusan Kampus Kesihatan, saya mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar tahun dua kerana ini merupakan kali pertama mereka berpeluang berada di dalam kampus dan menjalani sesi pembelajaran secara bersemuka selepas setahun mengikuti pengajian secara ‘online’ serta selamat kembali ke kampus bagi pelajar-pelajar 'senior' yang lain,” ujarnya semasa ditemubual.

Tambah Shaiful, pengurusan Kampus Kesihatan USM mengalu-alukan kedatangan para pelajar untuk menimba pengalaman mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka dan menjalani kehidupan sebagai pelajar USM dengan mencipta kenangan indah sepanjang tempoh pengajian mereka di negeri Kelantan.

“Saya amat berharap agar para pelajar berlapang dada, jaga diri sendiri dan rakan-rakan supaya tidak membentuk kluster baharu serta sentiasa patuhi nasihat pihak pengurusan Kampus Kesihatan. Belajarlah dengan tenang dan gembira bagi memperoleh manfaat yang sepenuhnya.

“Walau bagaimanapun, disebabkan kita masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19, kaedah pembelajaran mungkin sedikit berubah daripada kaedah pembelajaran sebelum virus berbahaya ini melanda negara.

“Kaedah pembelajaran mungkin akan dijalankan secara ‘online’, secara hybrid (separuh online dan separuh lagi secara terus iaitu di wad, bilik tutorial atau dewan kuliah), dan jumlah pelajar yang akan mengikuti sesi pada tahun ini juga akan dikurangkan bagi mematuhi norma baharu dan SOP yang ditetapkan dalam memastikan tidak terbentuk kluster-kluster baharu serta penularan kes COVID-19 dalam kawasan kampus sehingga memberi kesan negatif kepada pelajar-pelajar lain, staf dan pesakit-pesakit Hospital USM,” jelas beliau lanjut.

Shaiful berkata lagi, apabila kerajaan mengambil keputusan membenarkan pelajar meneruskan pengajian secara fizikal, ia sudah mengambil kira risiko-risiko yang bakal dihadapi dan merancang semua aspek dengan teliti.

“Ibu bapa tidak perlu gusar dan khuatir akan keselamatan anak-anak mereka kerana USM akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan para pelajarnya terjaga.

“Para pelajar yang dibenarkan mengikuti pengajian secara bersemuka ialah mereka yang telah lengkap divaksinasi dan akan disaring secara berkala termasuk pelajar yang tidak mempunyai gejala atau simptom COVID-19 bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam ‘green bubble’.

“Sama-samalah kita berdoa agar proses pembelajaran secara bersemuka ini dapat diteruskan dengan lancar bagi kelangsungan hidup para pelajar bergelar mahasiswa USM,” katanya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.

  • Created on .
  • Hits: 2594

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024