USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM CAKNA ISU KESIHATAN MENTAL WARGA KAMPUS, SEDIA KHIDMAT PERUNDINGAN DAN KAUNSELING KEPADA YANG MEMERLUKAN

Screenshot 4

USM PULAU PINANG, 13 Oktober 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa cakna dan bersedia mendepani isu kesihatan mental dalam kalangan warga kampus dengan menyediakan khidmat kaunseling buat mereka yang memerlukan bimbingan psikososial bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Dalam ucaptama perasmian pembukaan Seminar Kaunseling Kebangsaan USM 2021 anjuran Bahagian Sumber Manusia (BSM), Jabatan Pendaftar USM, yang disiarkan melalui platform Facebook Live @ Perkhidmatan Perundingan dan Kaunseling Staf pagi ini, Pendaftar USM, Dr. Musa Ali berkata, USM tidak pernah ketinggalan dalam memberi fokus kepada isu kesihatan mental terutamanya kepada warga staf dan mahasiswa di sini.

“Sewaktu kegetiran mendepani cabaran pandemik, USM sudah melangkah awal terkehadapan dengan memberi dan menyediakan perkhidmatan perundingan dan kaunseling melalui BSM Jabatan Pendaftar, dan perkhidmatan sokongan psikososial semakin dipergiatkan sama ada secara fizikal mahu pun tele-kesihatan mental oleh barisan Pegawai Psikologi di sini,” kata beliau.

Jelas Musa, BSM Jabatan Pendaftar telah menyediakan khidmat kaunseling melalui tenaga pakar yang dimiliki dalam bidang terbabit dan diharapkan semua warga kampus untuk memanfaatkan perkhidmatan ini sebaik mungkin sekiranya dikenalpasti mempunyai simptom-simptom masalah kesihatan mental.

“Malah mengambil kira seriusnya permasalahan yang sedang dan akan dihadapi masa kini, saya ingin mengesyorkan semua staf dan mahasiswa USM seterusnya pegawai kakitangan awam perlu dilengkapkan dengan ilmu kaunseling ini agar dapat menjadi ‘mata dan telinga’ bagi mengenal pasti simptom awal masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat,” kata Musa lagi.

Mengulas lanjut mengenai permasalahan kesihatan mental yang dialami oleh masyarakat kini sejak berlakunya pandemik, Musa berkata sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, masyarakat dibebani pelbagai dugaan masalah hingga ada yang mengambil keputusan akhir dengan membunuh diri.

“Masyarakat di Malaysia tidak terkecuali daripada menerima impak kesihatan mental akibat pandemik COVID-19. Sebagai contohnya dari sebanyak 223,990 panggilan diterima menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial, 80.8 peratus pemanggil memerlukan sokongan emosi serta kaunseling.

“Ia membabitkan isu berkaitan kehilangan pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga, masalah hubungan interpersonal, stigma jangkitan, isolasi dan kurang akses perkhidmatan bantuan ketika tempoh PKP,” jelas Musa.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), faktor sosial yang menyebabkan tekanan terlampau antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.

“Jika kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia berisiko untuk tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri, rancangan bunuh diri, cubaan bunuh diri dan kematian akibat tindakan bunuh diri,” kata beliau lagi.

Beliau menegaskan agar warga kampus yang mengalami sebarang permasalahan dan memerlukan sokongan untuk tampil ke hadapan menggunakan saluran yang telah disediakan oleh BSM Jabatan Pendaftar USM bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Maklumat lanjut berkenaan Perkhidmatan Perundingan dan Kaunseling Staf, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USM, sila hubungi: 04-6536100 / 6096 / 6072 / 6095. E-Mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. .

Teks & Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar 

  • Created on .
  • Hits: 670

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024