USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAI BULAN KAUNSELING KEBANGSAAN

USM PULAU PINANG, 13 Oktober 2021 – Bulan Oktober setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Bulan Kaunseling Kebangsaan dan Universiti Sains Malaysia (USM) tidak melepaskan peluang bagi meraikannya apabila buat julung kali menganjurkan Seminar Kaunseling Kebangsaan USM 2021 untuk tatapan umum secara dalam talian.

WhatsApp_Image_2021-09-14_at_14.21.11_1.jpeg

Bertemakan ‘Isu dan Cabaran Pandemik COVID-19’, USM mengambil pendekatan dengan mengadakan program berbentuk diskusi secara maya berkaitan isu kesihatan mental dengan menampilkan panel-panel hebat di dalam bidang ini yang terdiri daripada pakar-pakar bidang kaunseling, psikologi dan psikiatri.

Menurut Pendaftar USM, Dr. Musa Ali, program anjuran Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, USM ini memberi ruang dan peluang kepada segenap lapisan masyarakat termasuk warga kampus, kaunselor-kaunselor berdaftar, mahasiswa Universiti Awam dan Universiti Swasta serta orang awam tidak kira di mana sahaja untuk mempelajari dan memahami masalah kesihatan mental yang semakin meningkat.

“Kita sedia maklum apabila pandemik COVID-19 berlaku pada tahun lepas, hampir semua negara di dunia mengambil langkah untuk melawan pandemik ini dengan melaksanakan langkah ‘lockdown’ atau di Malaysia langkah ini dikenali sebagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Atas sebab itu ramai dalam kalangan masyarakat negara ini mahupun dunia berhadapan dengan pelbagai masalah tekanan ekonomi dan kesihatan fizikal, dan ia telah mencetuskan ‘tsunami kesihatan mental’,” kata beliau ketika memberi ucaptama dan merasmikan pembukaan Seminar Kaunseling Kebangsaan USM 2021 secara dalam talian.

Tambah Musa, berdasarkan statistik tahun 2021, Januari hingga Julai, sejumlah 638 kes bunuh diri dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 262 kes bagi tempoh sama pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak.

“Justeru itu penganjuran seminar seperti ini amatlah penting buat masyarakat bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran menangani masalah kesihatan mental melalui bantuan dan bimbingan dari kaunselor-kaunselor yang mahir dan bersedia menyumbang khidmat nasihat bagi mengenalpasti simptom awal masalah kesihatan ini,” jelas beliau.

Musa turut berharap barisan Pegawai Psikologi/Kaunselor USM akan terus mengorak langkah, melebarkan perkhidmatan intervensi dan kaunseling bukan sahaja kepada warga USM malahan kepada masyarakat sekitar umumnya.

Seminar yang berlangsung selama dua hari itu menyajikan pelbagai topik permasalahan kesihatan mental melalui lima slot diskusi ceramah beserta dua slot perdana iaitu bersama Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Prof. Dato’ Dr. Nordin Kardi bertajuk Peranan Kaunselor Mendepani Cabaran Pandemik’; dan bersama Pengerusi Rancangan Sarjana Kaunseling dan Pensyarah Psikologi Kaunseling, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Prof. Madya Dr. Nor Shafrin Ahmad yang membincangkan topik bertajuk Pengurusan Krisis Psikologi di Era Pandemik.

Siaran secara langsung dan ulangan boleh diikuti melalui Facebook: Perkhidmatan Perundingan dan Kaunseling Staf USM di pautan: https://www.facebook.com/kaunselorstafusm

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar 

  • Created on .
  • Hits: 583

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024