MoU USM-ZASTRA SDN BHD, PERKONGSIAN KEPAKARAN DAN HARAPAN BARU PENGURUSAN BEKALAN AIR NEGARA
NIBONG TEBAL, 11 Oktober 2021 – Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Zastra Sdn. Bhd. bukan semata-mata perkongsian kepakaran antara sektor awam dengan swasta, malah akan menjadi harapan baru dalam pengurusan bekalan air negara di masa akan datang.
Menurut Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, langkah proaktif melalui gabungan tenaga pelbagai pihak dari segenap sudut untuk meneroka kaedah-kaedah baru dalam mengatasi masalah sumber air bersih yang terhad di Malaysia hendaklah dilaksanakan dengan segera.
“Oleh yang demikian, kerjasama ini diharap dapat mempertingkatkan lagi usaha yang baharu atau sedia ada demi meningkatkan kualiti air yang dikitar semula sebagai salah satu alternatif kepada sumber bekalan air semasa di Malaysia,” kata Azazi, yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC).
“Kita juga akan menambahbaik sistem serta kaedah rawatan air di zon-zon industri semasa krisis bekalan air berlaku sebagai satu pelan tindakan untuk mengelakkan ia daripada berulang atau setidak-tidaknya meminimumkan impak yang akan berlaku,” tambah beliau.
“Selain itu, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk meningkatkan lagi penggunaan teknologi kimia untuk proses rawatan sisa air di samping meneliti penggunaan kaedah terbaik melalui aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam setiap permasalahan yang berkaitan,” kata Azazi.
Bagi Pengarah Urusan Zastra Sdn. Bhd., Mohd Nafis Mohd Khairi, MoU ini amat penting dalam usaha untuk meningkatkan ilmu kefahaman, potensi kebolehpasaran dan aplikasi teknologi yang berkaitan dengan proses rawatan air sama ada air bersih atau sisa industri.
“Justeru, kami di Zastra Sdn Bhd berharap agar kolaborasi ini akan menaiktaraf dan mewujudkan formulasi Cooling Water Treatment Chemicals serta Boiler Treatment Chemicals yang boleh diuji ataupun dipasarkan sebagai sebuah produk mengikut standard permintaan semasa industri,” kata Nafis.
“Antara lain, kita juga akan memperbaharui teknologi di peringkat pra-rawatan untuk sistem rawatan air di samping menaiktaraf kecekapan aplikasi teknologi RO Membrane seperti meningkatkan jangka hayat teknologi tersebut dengan mengaplikasikan teknologi baharu Forward Osmosis contohnya,” katanya.
“Kita juga akan bekerjasama dalam mereka cipta sistem dengan izin, Automated Corrective Water Performance Monitor, yang membolehkan sistem tersebut mengesan perubahan parameter air dan melakukan kawalan tersebut secara automatik bagi memastikan spesifikasi air tidak tersasar,” tambah Nafis lagi.
Diadakan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam di sini, turut hadir adalah Dekan pusat pengajian, Profesor Ir. Dr. Taksiah A. Majid.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 904