USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIGA PENSYARAH KAMPUS KEJURUTERAAN ANTARA PENERIMA PENGIKTIRAFAN TRSM 2021

NIBONG TEBAL, 4 Oktober 2021 – Tiga pensyarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) antara 22 saintis yang diumumkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai Top Research Scientists Malaysia (TRSM) untuk tahun 2021.

Pengiktirafan ini adalah berdasarkan kepada sumbangan dan pencapaian mereka yang cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

Mereka adalah Profesor Dr. Ooi Boon Seng dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia serta Profesor Ir. Ts. Dr. Zuhailawati Hussain dan Profesor Dr. Zainovia Lockman dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM).

WhatsApp_Image_2021-10-12_at_06.53.12.jpeg

Melalui usaha serta penyelidikan yang dijalankan, Profesor Dr. Ooi Boon Seng memastikan kelestarian industri akan mendatangkan manfaat kepada alam sekitar dan membawa kesan positif kepada sosioekonomi Malaysia.

Penyelidikan beliau tertumpu ke arah pemulihan sumber bumi terhad seperti ion logam, zat dan air bersih daripada air sisa dengan menggunakan teknologi gabungan membran.

Mantan Dekan PPKBSM, Profesor Ir. Ts. Dr. Zuhailawati Hussain pula merupakan seorang penyelidik yang telah banyak memberikan sumbangan dalam kemajuan implan ortopedik dan pembangunan logam baharu.

Melalui penyelidikan yang beliau jalankan, perkhidmatan perubatan berprestasi tinggi dapat ditawarkan kepada masyarakat dan seterusnya menjadikan industri pembuatan logam lebih ekonomi dan lestari.

Merupakan pakar di dalam bidang bahan, Profesor Dr. Zainovia Lockman selaku pengerusi bersama Badan Bertindak ASM, turut membantu dalam pembangunan Dasar dan Strategi Nanoteknologi Nasional 2021-2030 yang menyentuh tentang keselamatan dan peraturan berkaitan nanoteknologi.

Beliau kini menyandang jawatan Pengarah Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan (RCMO) USM.

Pengumuman penerima pengiktirafan TRSM disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato' Sri Dr. Adham Baba melalui satu majlis yang diadakan secara dalam talian pada 28 September 2021 yang lalu.

Selain tiga pensyarah Kejuruteraan tersebut, dua lagi pensyarah USM yang turut menerima pengiktirafan TRSM 2021 ialah Profesor Dr. Azlan Abdul Aziz (Pusat Pengajian Sains Fizik dan Dekan Institut Pengajian Siswazah, IPS) dan Profesor Dr. Tang Thean Hock (Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, IPPT).

WhatsApp_Image_2021-10-12_at_06.53.12_1.jpeg

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Infografik: Ebrahim Abdul Manan 

  • Created on .
  • Hits: 673

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024