USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TERIMA VAKSIN WALAU TERKURUNG DI SEBALIK TIRAI BESI

KOTA BHARU, KELANTAN, 3 Oktober 2021 -- Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi program Outreach KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS) bersama Jabatan Penjara Malaysia Negeri Kelantan (JPMNK) hari ini telah memberi suntikan vaksin kepada 233 tahanan Penjara Satelit Pasir Mas.

Pengarah Hospital USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim ketika ditemui berkata, pemberian vaksin kepada tahanan penjara adalah antara inisiatif di bawah program KRIS kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Hospital-hospital Pengajar Universiti (HPU) dan ia merupakan antara usaha bagi memastikan semua rakyat Malaysia mendapat hak sama rata untuk menerima suntikan vaksin.

SAVE 20211004 054549

"Program pemberian vaksin kali ini dilaksanakan secara statik bagi mempercepatkan proses vaksinasi, menjimatkan masa dan mengelak pergerakan yang banyak.

"Seramai 20 orang petugas dari Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital USM terdiri daripada doktor, penolong pegawai perubatan, jururawat dan pegawai farmasi diberi mandat untuk menjalankan proses vaksinasi pada hari ini dan mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) serta Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)" ujarnya.

Tambah Sukari, menerusi program hari ini, tahanan Penjara Satelit Pasir Mas selain tahanan warga emas akan disuntik vaksin CanSino yang mana vaksin ini merupakan vaksin COVID-19 satu dos supaya pasukan vaksinasi tidak perlu lagi datang untuk suntikan kali kedua.

"Saya berharap program ini bukan sahaja akan menyelamatkan tahanan daripada menjadi mangsa virus berbahaya COVID-19 tetapi turut menyelamatkan komuniti luar apabila tahanan dibebaskan dan bercampur dengan masyarakat.

"Selain itu, saya juga percaya program sebegini sedikit sebanyak membantu usaha negara untuk mencapai sasaran negara memastikan seluruh rakyat divaksin serta mencegah tahanan dari mengelak untuk divaksinasi," jelasnya lagi.

SAVE 20211004 054614

Melalui program Outreach KRIS bersama JPMNK ini, Hospital USM mensasarkan pemberian vaksin kepada tahanan-tahanan di semua penjara seluruh Kelantan.

Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob menyambut baik program ini sebagai usaha mencegah penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan tahanan penjara.

Menurutnya, negeri Kelantan merekodkan peratusan tertinggi paling ramai menerima vaksin bagi tahanan penjara di Malaysia selepas negeri Sarawak.

"Kapasiti maksimum tahanan Penjara Satelit Pasir Mas adalah seramai 500 orang dan berdasarkan rekod hari ini, seramai 427 tahanan menjalani hukuman di sini.

"Untuk program pada hari ini, Penjara Satelit Pasir Mas mengenalpasti seramai 233 tahanan untuk menerima vaksin manakala selebihnya telah divaksinasi dan ada sebilangan kecil yang sedang menjalani tempoh kuarantin serta dijadualkan menerima vaksin kemudian," katanya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Pengarah, Bahagian Dasar Kepenjaraan Malaysia, Abdul Halim Ma Hasan dan Timbalan Pengarah Kanan Klinikal Hospital USM, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria.

Teks: R. Alia Fazni R. Azmi/Foto: Ihsan Penjara Satelit Pasir Mas 

  • Created on .
  • Hits: 463

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024