Ikuti Perkembangan Universiti untuk Fahami Cabarannya
KUBANG KERIAN, KELANTAN 17 Jun - Seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) diminta mengikuti setiap fasa perkembangan pesat universiti untuk lebih memahami cabaran-cabaran yang dihadapinya.
Hal ini dinyatakan oleh Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman di dalam dua majlis yang berbeza di sini hari ini.
Dalam majlis Perjumpaan Bulanan Naib Canselor Bersama Warga Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), beliau meminta untuk setiap warga melihat perkembangan pesat yang berlaku di kampus-kampus USM sejak ditubuhkan kira-kira 44 tahun lalu.
"Lihat sahaja perkembangan yang berlaku di Kampus Induk yang kini turut mempunyai Sains@USM, Kampus Bertam dan Kampus Kejuruteraan dengan bilangan staf dan pelajar yang bertambah, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia yang diiktiraf antara 100 terbaik, Kampus Kesihatan, penawaran program di India malah PPSG sendiri yang sebahagian besar dari pengasasnya telah tiada lagi dan banyak lagi perkembangan yang terjadi," kata Omar.
Malah tambahnya lagi, perkembangan yang sangat pesat ini tidak berlaku seiring dengan keperluan tambahan dana untuk terus berkembang, lalu timbul keperluan untuk mendapatkan dana-dana luar untuk menampung pelbagai usaha yang perlu serta pelbagai lagi seperti yang sering disuarakan oleh ketua jabatan mahu pun warga akademik, pentadbiran dan profesional mahu pun kumpulan lainnya.
"Dengan memahaminya, seluruh warga akan bersedia menghadapi cabaran-cabaran yang ada untuk bersama-sama melakukan usaha bagi membawa Universiti ke fasa yang seterusnya," kata Naib Canselor.
Naib Canselor memuji kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh warga PPSG dalam mencapai sasaran kerjanya walau terdapat pandangan yang mengatakan kekurangan tenaga kerja dan kekangan lain termasuk yang melibatkan keperluan dana yang lebih besar.
"PPSG tidak perlu merasa kekurangan malah wajar untuk berbangga dengan pencapaiannya dan berusaha keluar daripada imej pusat pengajian, malah sebaliknya meneruskan jenamanya sendiri apatah lagi dengan reputasi tinggi yang ada seperti mana ditunjukkan dalam pemilihan kemasukan pelajar baru yang menyaksikan sambutan hangat calon yang tidak perlu menunggu lama untuk memenuhi keperluannya," kata Omar.
Dalam ucapan pada majlis yang sama, Dekan PPSG, Profesor Madya Dr. Adam Hussein berkata, sepanjang tahun lalu dan enam bulan pertama tahun ini, pusat pengajian mencapai kejayaan pesat, antaranya pelbagai kejayaan yang diraih pelajar seperti mendapat tempat pertama 5th National Dental Students' Scientific Conference, tempat ketiga Winner Oral Presentation 35th Asia Pacific Dental Congress 2013, hadiah pertama Poster Presentation 1st International Students Dental Conference UAE dan pelbagai kejayaan lain.
"Begitu juga pencaian cemerlang dalam penyelidikan dan penerbitan di samping meneruskan libat sama dengan masyarakat melalui usaha pembedahan sumbing bibir dan lelangit dan memberikan hampir 39,000 perkhidmatan pergigian sepanjang 2012," kata Adam.
Hadir di majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Datin Dr. Aishah Knight, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato' Dr. Susie See Ching Mey dan Bendahari Hajah Salmiah Che Puteh serta warga PPSG.
Sementara itu, dalam majlis yang berasingan, Naib Canselor menyeru hal yang sama kepada ahli-ahli Kelab Sukan dan Kebajikan Sosial Kampus Kesihatan ketika merasmikan mesyuarat agung tahunannya yang ke-25 di Pusat Mahasiswa.
"Kita perlu memahami perkembangan yang berlaku untuk bersama-sama memahami setiap usaha yang dilakukan, misalnya mengapa penting untuk kita bekerja sebagai satu pasukan dan mengekalkan semangat kerjasama seperti mana yang ditunjukkan melalui kelab ini yang banyak melakukan usaha murni dalam menyatukan staf di sini," kata Omar.
Katanya, universiti mengharapkan kelab ini akan berusaha keras untuk menjana pendapatan sendiri melalui pelbagai cara dan berdaya maju tanpa banyak bergantung kepada Universiti, namun bersedia menyokong jika terdapat kaedah-kaedah tertentu yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan tersebut seperti pelan perniagaan yang dilaksanakan oleh Kelab Sukan Staf di Kampus Induk dan Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi Staf di Kampus Kejuruteraan.
Menyentuh tentang peranan kelab, Naib Canselor menyeru agar usaha juga ditumpukan kepada meningkatkan penjagaan kesihatan dalam kalangan seluruh warga universiti merentasi kumpulan.
"Universiti berusaha untuk mewujudkan satu dasar kesihatan yang menyeluruh dengan melibatkan semua pemegang taruhnya, malah mencari jalan yang sebaik-baiknya untuk meminta semua warga menjalankan pemeriksaan kesihatan yang berkala serta terlibat dalam aktiviti sukan dan rekreasi seluas mungkin," tambah Omar lagi.
Lebih 300 orang hadir pada majlis perasmian tersebut yang turut dihadiri Presidennya, Mohd. Hafiz Assad Zakaria.
- Created on .
- Hits: 1446