PENSYARAH PPKM KETUAI KERJASAMA PROJEK PPRN BERNILAI RM60,000
NIBONG TEBAL, 1 Oktober 2021 – Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Mohamad Aizat Abas akan menjadi Ketua untuk Projek Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bernilai RM60,000.
Menurut Aizat, projek ‘Customized Semi-Automated IoT-based Portable Solar Panel Cleaning System’ ini dijangka akan menambah baik dan menghasilkan satu inovasi kepada robot pencucian solar panel baharu yang sedang berada di pasaran.
“Ia adalah untuk menggantikan proses terdahulu yang dijalankan secara manual dan memakan masa yang lama.
“Melalui penyelidikan ini, proses yang sama bukan sahaja akan ditambah baik supaya lebih cepat malah secara tidak langsung akan menjadi lebih kos efektif dari segi penggunaan tenaga kerja.
“Selain daripada membolehkan kita meluaskan pengalaman melalui penyelidikan yang akan dijalankan, saya turut berharap agar kejayaan projek ini dapat meringankan lagi beban pihak industri pada masa akan datang,” tambah Aizat.
“Terima kasih diucapkan kepada pihak KPT dan USM atas peluang yang diberikan kepada saya dan pasukan dalam mengetengahkan produk yang akan dipasarkan untuk kegunaan industri tenaga boleh diperbaharui di Malaysia ini,” katanya lagi.
Melalui peruntukan dana yang diberikan, projek ini akan berlangsung selama 12 bulan dan melibatkan kerjasama antara USM dengan sebuah syarikat kejuruteraan elektrik dan tenaga solar swasta tempatan, Voltake Energy Services Sdn Bhd.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto:Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop
- Created on .
- Hits: 451