USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM LASER MENDAPAT SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN

“Program ini penting untuk membangunkan kepimpinan akademik dengan memberi penekanan kepada agenda memasyarakatkan pengajian tinggi melalui libatsama universiti dan komuniti dalam memperkasakan pelaksanaan aktiviti Penyelidikan Translasional.”

USM PULAU PINANG, 24 September 2021 – Program "Leadership in Academic-Society Experiential Relationship (LASER)" yang dianjurkan oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM) telah berakhir dengan jayanya semalam.

Program yang diadakan secara maya selama dua hari itu (22-23 September 2021) telah mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan apabila mendapat penyertaan dari seramai 50 peserta dari universiti awam dan unversiti swasta seluruh Malaysia, yang terdiri daripada Dekan, Timbalan Dekan, Pengarah, Pensyarah serta Penyelidik daripada pelbagai bidang.

Pelaksanaan program ini penting untuk membangunkan kepimpinan akademik dengan memberi penekanan kepada agenda memasyarakatkan pengajian tinggi melalui libatsama universiti dan komuniti dalam memperkasakan pelaksanaan aktiviti Penyelidikan Translasionalyang akan meningkatkan intelektual dan keupayaan hasil penyelidikan yang memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat, dan pada masa yang sama menyelesaikan permasalahan sosio-ekonomi dan kesejahteraan masyarakat umum.

Picture5

Tuan Syed Yusof Syed Kechik selaku Pengarah Jaringan Masyarakat, BJIM USM merangkap ketua program LASER merumuskan dalam ucapan penutup program, bahawa USM melalui BJIM telah banyak menggerakkan projek-projek libatsama komuniti atau 'Community Engagement' (CE), dan ini memperlihatkan kesungguhan USM bekerjasama dengan komuniti dalam usaha mentransformasi pelbagai kumpulan komuniti yang memerlukan perhatian dan bantuan.

USM bukan mahu mengajar sesiapa tentang CE akan tetapi hanya mahu berkongsi amalan dan pendekatan CE ke tahap yang lebih baik selari dengan perkembangan pesat abad ke-21 dan Industri 4.0 yang memberi dimensi baru agar CE dapat dilaksanakan secara lebih kreatif dan inovatif dengan pendekatan 'by design’,” kata beliau.

Tambah beliau, dengan menjemput tiga penceramah ucaptama (keynote speakers) yang merupakan mantan-mantan Naib Canselor USM, kami telah memastikan bahawa program ini akan menjadi lebih bermanfaat, yang mana masing-masing telah memberi definisi dan berkongsi topik-topik berkaitan CE mengikut kefahaman dan pengalaman mereka.

Syed Yusof turut merumuskan dan meringkaskan pembentangan program daripada ketiga-tiga mantan Naib Canselor USM tersebut yang sering menjadi pakar rujuk dalam agenda CE di peringkat universiti, nasional mahupun antarabangsa iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak (Rektor UIAM, Mantan NC USM tahun 2000-2011); Profesor Dato’ Sr. Dr. Omar Osman (NC DRB-HiCOM University of Automotive Malaysia, Mantan NC USM tahun 2011-2016) dan juga Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, FASc. (Presiden Akademi Sains Malaysia, Mantan NC USM tahun 2016-2020).

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) terutamanya Pengarah, Profesor Dato’ Dr. Nasrudin Mohammed dan Timbalan Pengarah, Profesor Madya Dr. Azila Ahmad Sarkawi, kerana menyokong pelaksanaan program ini.

Harapan beliau adalah agar program ini telah memberikan para peserta kefahaman yang jelas bagaimana CE dilaksanakan dan perlu dikembangkan dengan cara yang lebih tersusun dan sistematik demi memastikan impak dan kesan holistiknya sampai kepada masyarakat, dan pada masa yang sama dapat memenuhi keperluan masyarakat melalui proses yang lebih baik dan mampan.

laser syed 4

Program LASER ini bukan kali pertama dianjur oleh USM tetapi program ini telah pun diadakan di USM pada tahun 2019 dengan nama Program Peningkatan Kompetensi AKEPT: Perkongsian Amalan Terbaik Libatsama Universiti-Komuniti (ACEP).

Modul-modul yang terdapat dalam program ini telah pun memberi manfaat kepada lebih 300 orang akademia dari pelbagai Universiti Awam (UA) dalam memberi pendedahan merangka, menilai dan melaksanakan program/projek libatsama universiti-komuniti.

Program LASER dirancang untuk diadakan sebanyak empat (4) siri, dengan Siri 2 dijangka berlangsung pada awal November 2021 melibatkan kumpulan staf pengurusan dan profesional sebagai kumpulan sasar.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharuddin & Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 453

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024