USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KESELAMATAN PESAKIT AGENDA UTAMA TERAS STATEGIK HOSPITAL USM: SUKARI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 September 2021 – “Keselamatan pesakit adalah agenda utama dalam teras strategik Hospital USM dan amalan enam (6) ‘International Patient Safety Goals’ dilaksanakan bagi mencegah berlakunya insiden yang menggugat keselamatan pesakit,” demikian kata Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim.

57e559f6 c3a0 4aa6 b29e 48221f47a2aa

Menurutnya, pemantauan masalah keselamatan pesakit termasuk risiko, kemudaratan, dan insiden yang membahayakan pesakit di semua peringkat penyampaian perkhidmatan kesihatan dilaksanakan melalui implementasi sistem pelaporan insiden secara dalam talian (e-Incident Reporting System), beserta pelaksanaan tindakan atau strategi pengurangan risiko (risk reduction strategies) yang efektif. 

“Sistem pelaporan ini perlu telus dan dimanfaatkan oleh semua pihak untuk tujuan penambahbaikan perkhidmatan dan keselamatan pesakit. 

“Pemimpin dalam organisasi penjagaan kesihatan bertanggungjawab memastikan keselamatan, kesejahteraan, dan keupayaan pekerja kesihatan sebagai keutamaan dalam penjagaan kesihatan. 

“Pihak pengurusan perlu membentuk dan memupuk budaya keselamatan di mana pekerja kesihatan tidak takut untuk membicarakan masalah keselamatan sebagai asas peningkatan kualiti perkhidmatan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Peringkat Hospital USM yang diadakan secara maya, hari ini.

88ef4b87-8c68-423f-b4f2-5db340f0af49.jpg

Tambah Sukari, Hari Keselamatan Pesakit Sedunia (World Patient Safety Day) disambut pada 17 September setiap tahun bermula tahun 2019 dan ini menunjukkan keselamatan pesakit merupakan agenda utama dalam perkhidmatan kesihatan di Malaysia selari dengan resolusi Mesyuarat Pertubuhan Kesihatan Sedunia ke-72 iaitu ‘Global Action on Patient Safety’. 

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan keselamatan pesakit sebagai keadaan di mana tidak berlakunya sebarang kemudaratan yang boleh dicegah kepada pesakit dan usaha yang diambil bagi mengurangkan risiko kemudaratan kepada pesakit seminima mungkin.

“Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia pada tahun ini bertemakan Penjagaan Ibu dan Bayi yang Selamat (Safe Maternal And Newborn Care) yang mana fokus utama adalah memastikan keselamatan penjagaan ibu dan bayi terutama semasa proses kelahiran,” jelasnya lagi. 

Sukari berkata, data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan anggaran 810 wanita dan 6,700 bayi yang baru lahir meninggal setiap hari, dan kebanyakannya berlaku semasa kelahiran bayi. 

“Mesej utama sambutan pada tahun ini mensasarkan lima (5) pihak iaitu wanita dalam kehamilan, pasangan dan ahli keluarga, pekerja kesihatan, pemimpin organisasi penjagaan kesihatan dan pembuat dasar atau polisi kesihatan. 

“Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Peringkat Hospital USM pada tahun ini diadakan bertujuan meningkatkan momentum dan kesedaran semua pihak berkenaan keselamatan pesakit selain mengukuhkan pengetahuan serta tahap kesedaran kakitangan kesihatan dan orang awam tentang isu berkaitan keselamatan ibu dan bayi terutamanya semasa proses kelahiran.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk mewujudkan budaya keselamatan ‘safety culture’, ‘just culture’ dalam kalangan staf Hospital USM yang merupakan asas utama di mana anggota kesihatan perlu mempunyai pemikiran, amalan penjagaan kesihatan dan persekitaran yang selamat,” ulas beliau lanjut.

Sukari turut menjelaskan bahawa kolaborasi antara anggota kesihatan, pesakit dan keluarga perlu ditingkatkan dan dioptimakan bagi menjayakan inisiatif ini selari dengan polisi penjagaan kesihatan Hospital USM dalam memastikan penjagaan kesihatan yang selamat, berkesan, tepat pada masanya, berpusatkan pesakit, efisyen dan adil untuk semua.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 1130

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024