PPSL DISERU JALANKAN TUGAS DENGAN AMANAH DALAM MEMBIMBING PELAJAR BAHARU
NIBONG TEBAL, 22 September 2021 -- Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) USM Kampus Kejuruteraan diseru untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan tegas serta amanah menjelang kemasukan pelajar baharu Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) pada 16 Oktober akan datang.
Bercakap ketika sesi kunjungan hormat untuk persiapan PPSL Sidang Akademik 2021/2022 hari ini, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria berkata, sebagai pembimbing, mereka perlu menonjolkan ciri-ciri kepimpinan cara USM yang berpandukan kepada jati diri serta akhlak yang berkualiti.
“Pimpinlah secara berhemah dan elak tindakan secara semberono supaya Minggu Siswa Lestari ini nanti akan berjalan lancar serta teratur yang seterusnya dapat mewujudkan suasana tenteram dan selamat kepada mereka nanti,” kata beliau.
“Selain itu, saya ingin menekankan penggunaan empati dalam menjalankan tugas kerana kita perlu faham situasi dan emosi mereka di kala pandemik ini yang jelas berbeza berbanding sesi-sesi pendaftaran terdahulu,” tambah Azazi.
Bagi Pengarah PPSL SA 2021/2022, Farah Zahidah Abd Halim, 21, peluang untuk memimpin PPSL tahun ini adalah unik terutama dalam situasi semasa yang sukar untuk diramalkan dan ia bertepatan dengan slogan PPSL untuk sentiasa bersedia dengan ketidakpastian iaitu, "Bersedia untuk Tidak Bersedia".
“Saya tidak sabar untuk menjadikan PPSL sebagai medium persekitaran serta ruang yang selamat untuk semua pihak membicarakan apa sahaja maklum balas atau kebimbangan sepanjang program ini nanti.
“Melalui pendekatan ini, PPSL akan menjanjikan pimpinan yang jujur dan berintegriti memandangkan program ini juga telah berjaya membuktikan kejayaannya dalam menghasilkan pemimpin berkualiti sejak beberapa tahun yang lepas,” kata pelajar tahun empat Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia ini.
Menurut Farah lagi, program ini juga merupakan salah satu dari contoh terbaik dalam melatih ciri-ciri pelajar H.E.B.A.T., seperti yang dipromosikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Aldrin Abdullah.
Dalam sesi kunjungan kali ini, hanya sembilan pelajar yang hadir secara bersemuka dalam memastikan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa manakala 42 pelajar yang lain hadir secara dalam talian.
Sejumlah 2,550 orang pelajar baharu dijangka mendaftarkan diri di Kampus Kejuruteraan untuk sidang akademik kali ini dan Minggu Siswa Lestari akan berlangsung dari 16 Oktober 2021 hingga 22 Oktober 2021.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 456