USM, DITROLIC ENERGY JALIN KERJASAMA; USM BERALIH KEPADA TENAGA ALTERNATIF SOLAR UNTUK KEGUNAAN KAMPUS
USM PULAU PINANG, 28 September 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani perjanjian ‘Solar Power Purchase Agreement (SPPA)’ bersama Ditrolic Energy Solutions Sdn. Bhd., sebuah syarikat pembekal tenaga solar dan penyelesaian tenaga bersih terkemuka di Malaysia, untuk menjayakan Projek Pemasangan Sistem Solar Fotovolta (PV) secara Pelawaan Memberi Cadangan (Request for Proposal, RFP).
Projek tersebut merupakan projek yang julung kali dilaksanakan di USM dan yang pertama seumpama itu dalam kalangan Universiti Awam (UA) di Malaysia, melibatkan pemasangan sistem solar PV di lebih 90 lokasi premis yang dikenalpasti di seluruh kampus induk USM.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, melalui kerjasama itu, tenaga alternatif solar akan digunakan untuk menjana tenaga elektrik yang lebih efektif dan mesra alam melalui pemasangan sistem solar PV dengan kapasiti maksimum 10,662.25 kilowatt peak (kWp).
“Dengan jumlah kapasiti maksimum ini, USM dapat menampungsehingga 40% penggunaan tenaga tahunannya daripada tenaga boleh diperbaharui ini, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga elektrik dari penjanaan TNB.
“Hasil dari penjanaan tenaga solar ini juga, dijangka kos utiliti universiti untuk jangka panjang dapat dikurangkan sebanyak 30%,” kata Faisal Rafiq, sambil menambah bahawa seluruh projek ini tidak memerlukan pihak USM untuk mengeluarkan sebarang modal pelaburan (zero financial outlay).
Jelasnya lagi, USM telah memilih tenaga boleh diperbaharui (solar) selaras dengan visi universiti “Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok".
“Dengan itu juga, universiti secara langsung telah menjayakan salah satu konsep kampus lestari yang menjadi agenda/matlamat utama USM, Kelestarian@USM dengan menggunakan tenaga diperbaharui yang berasal dari sumber semula jadi yang lestari dan tidak mencemari alam (bersih),” tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ditrolic Energy Solutions Sdn. Bhd., Tham Chee Aun menzahirkan penghargaan beliau kerana dapat bekerjasama dengan USM yang merupakan universiti awam yang kedua tertua di Malaysia dalam inisiatif untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih.
“Kami amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan USM yang bertaraf APEX dan melalui projek ini, pihak kami dapat mempamerkan kepada negara dan juga pelajar bagaimana universiti awam terkemuka dapat memimpin secara teladan dalam menangani isu perubahan iklim di samping mengurangkan kos tenaga yang digunakan pada masa yang sama,” katanya.
“Projek ini juga adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang tahun 2050,” ujarnya lagi.
Proses pemasangan sistem PV dijangka bermula dalam masa terdekat ini, yang mana sejumlah 22,374 keping modul solar akan dipasang di bumbung bangunan yang terpilih, solar farm mini di atas tanah dan juga parkir berbumbung di lebih 90 lokasi premis di sekitar kampus induk USM.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil-wakil dari PTJ yang bertanggungjawab merealisasikan projek berkenaan iaitu Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, Profesor Dr. Md Roslan Hashim; Bendahari, Kamarul Ariffin Ngah; Pengarah Pembangunan Korporat Strategik, Muhamad Sabri Said; Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset, Ir. Mohd Nizam Mohd Razak; beserta delegasi Ditrolic Energy Solutions Sdn. Bhd., iaitu Raziah Hamdan (Pengurus Pembangunan Perniagaan), dan Nasrul Izwan Abdul Halim (Jurutera Kanan Pembangunan Perniagaan).
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1116