USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN JAS JALIN KERJASAMA TINGKATKAN KESEDARAN ALAM SEKITAR

usmjas1

GENTING HIGHLANDS, Jun 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia untuk saling bekerjasama di dalam bidang pemuliharaan, pendidikan dan kesedaran alam sekitar. 

Melalui MoU ini, USM akan menggiatkan penglibatan dan penyertaannya dalam meningkatkan kesedaran tentang pelbagai isu alam sekitar, terutamanya dalam kalangan warga kampusnya, ke arah pembinaan sebuah masyarakat penyayang, mesra alam dan lestari.

Pemangku Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Ahmad Shukri Mustapa Kamal, yang menandatangani MoU itu bagi pihak USM, berkata adalah menjadi tanggungjawab setiap warga kampus untuk memelihara dan melindungi alam sekitar, walau sekecil manapun sumbangan kita, secara kolektif akan memberi kesan yang besar dalam usaha mengukuhkan lagi pemuliharaan alam sekitar.

“Saya berharap melalui jalinan kerjasama pintar (smart and strategic partnership) ini, pihak USM dan JAS dapat bersama-sama menggalak, mempromosi dan melaksanakan aktiviti/program Rakan Alam Sekitar yang diperkenalkan oleh JAS, dalam kalangan pelajar USM.

“Selain itu, melalui penglibatan langsung mereka, pelajar USM juga diharap dapat menjadi agen pengongsian dan penyebaran maklumat yang berkesan tentang kesedaran alam sekitar kepada masyarakat luar,” kata Ahmad Shukri. 

 DSC5446

Selain USM, sebanyak 30 organisasi lain membabitkan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat multinasional (MNC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menandatangani MoU itu, yang diadakan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2013 yang diraikan pada 5 Jun setiap tahun.

Menandatangani bagi pihak JAS ialah Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Dato’ Halimah Hassan, disaksikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. James Dawos Mamit.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Alam Sekitar kementerian itu, Datuk Dr. Abdul Rahim Nik, dan Naib Presiden Kanan, Perhubungan Awam dan Komunikasi, Resort World Genting, Datuk Anthony Yeoh. – Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Dengan ihsan Bahagian Komunikasi Strategik, Jabatan Alam Sekitar

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1855

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024