USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUA PROFESOR USM SAMPAIKAN SYARAHAN UMUM SERENTAK SECARA DALAM TALIAN

USM PULAU PINANG, 28 September 2021 – Jika dahulunya Siri Syarahan Umum Pelantikan Profesor diadakan dengan penuh kemeriahan secara bersemuka, namun kini dengan situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara, siri syarahan umum dijalankan secara dalam talian.

Ini yang berlaku kepada dua ahli akademik USM, iaitu Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB), Profesor Dr. Azlan Amran dan Ombudsman USM, Profesor Dr. Sofri Yahya masing-masing begitu bersemangat menyampaikan syarahan umum sempena pelantikan mereka menyandang jawatan Profesor di USM yang disiarkan secara langsung di saluran Facebook GSB hari ini.

photo_2021-10-03_19-54-17.jpg

Pada siri syarahan tersebut, Azlan memilih topik bertajuk ‘Inovasi Sosial Korporat: Sebuah Penyelesaian dan Harapan ke Arah Kelestarian, Tinjauan Praktis di dalam Konteks Syarikat Awam Swasta’ manakala Sofri pula menyampaikan syarahan bertajuk ‘Memasyarakatkan Perakaunan Demi Kelestarian: Pendekatan Pemikiran Rekayasa’.

Inovasi Sosial Korporat: Sebuah Penyelesaian dan Harapan ke Arah Kelestarian, Tinjauan Praktis di dalam Konteks Syarikat Awam Swasta ~ Prof. Dr. Azlan Amran

Azlan, melalui syarahannya berkata, Inovasi Sosial Korporat (Corporate Social Innovation, CSI) merupakan sebuah konsep yang dapat menyediakan platform untuk syarikat memainkan peranan bagi menyelamat dunia melalui inovasi yang dapat memberi impak kepada masyarakat dan alam sekitar.

“Syarikat korporat, terutamanya Syarikat Awam Berhad (PLC), kini perlu bersikap lebih aktif dalam menangani isu sosial dan melangkaui praktis traditional Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar,” kata beliau.

Jelas beliau, seperti yang dicatatkan oleh Amran et al. (2013) berdasarkan teori pihak berkepentingan, tumpuan lembaga pengarah harus dialihkan dari pemegang saham kepada pemegang kepentingan dan dengan adanya alternatif baru ini serta kesan impak yang lebih jelas bagi tujuan sosial, syarikat korporat harus secara proaktif meneroka model CSI untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat yang kurang bernasib baik dan berada di bahagian bawah pasaran piramid.

”Walaupun komitmen CSR telah meningkat secara ketara dalam kalangan syarikat Malaysia, namun hal ini masih belum berkembang kepada pembentukan inovasi sosial secara menyeluruh dari segi pembangunan dan penyelesaian terhadap keadaan sosial dan alam sekitar yang mencabar.

“Melalui model rangka kerja CSI yang teliti dengan menyediakan garis visual yang mudah difahami dapat membantu pemimpin korporat untuk menggambarkan peta jalan inovasi sosial bagi syarikat mereka, dan platform yang paling sesuai untuk menghasilkan inovasi sistematik untuk memanfaatkan komuniti adalah dengan menggunakan pendekatan Pentadbir Inovasi Sosial,” jelas beliau lagi.

Pemerhatian dan kajian beliau ini adalah daripada lapan kajian kes yang telah dibuatnya melibatkan beberapa buah syarikat yang pernah memenangi anugerah ACCA Malaysia Sustainability Reporting Award (MaSRA) diantara tahun 2015 sehingga 2017.

Biodata Ringkas Prof. Dr. Azlan Amran

live6

Azlan, anak kelahiran Kajang, Selangor dan dibesarkan di Junjong, Kulim, Kedah ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Michael Institution, Ipoh, Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah, Seri Iskandar, Perak.  Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Selepas tamat pengajian, beliau menimba pengalaman bertugas di beberapa buah syarikat pembinaan sebagai Akauntan termasuk menceburi bidang perniagaan, dan sehingga tahun 2000, Azlan menyambung pengajian dengan melalui program fellow USM dan memulakan pengajian peringkat Sarjana dan Ph.D. di Universiti Malaya.

Beliau seterusnya memulakan karier beliau sebagai seorang pensyarah muda pada Jun 2006 di USM iaitu sebaik sahaja menamatkan pengajian peringkat Ph.D. pada tahun yang sama.

Beliau juga seorang penyelidik yang berjaya di USM dan sepanjang berkhidmat di GSB, beliau memperoleh kemajuan kerjaya apabila dilantik menjadi Pengurus Program, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa,dan sebagai Dekan, iaitujawatan yang disandangnyasehingga kini.

Memasyarakatkan Perakaunan Demi Kelestarian: Pendekatan Pemikiran Rekayasa ~ Prof. Dr. Sofri Yahya

Pada majlis yang sama, Sofri pula menyentuh kepentingan-kepentingan kedudukan kewangan dan potensi sesebuah perniagaan melalui agenda memasyarakatkan perakaunan demi kelestarian perniagaan itu sendiri.

Kata beliau, kepentingan maklumat perakaunan demi kelestarian perniagaan dan bagaimana merekayasa akauntan yang seharusnya boleh menyumbang ke arah ini.

“Memasyarakatkan perakaunan jika tidak dipratikkan, masyarakat bukan sahaja akan terlepas peluang memahami maklumat ini untuk tujuan pelaburan, malahan mereka juga tidak akan dapat mengetahui kesan yang boleh diberikan oleh perniagaan kepada kehidupan sosial dan persekitaran mereka,jelas Sofri.

Beliau menambah, maklumat perakaunan ini boleh diakses dengan mudah dan mesra rakyat melalui ‘Model Binaan Individu Berjaya’ yang dikongsikan beliau supaya segenap lapisan masyarakat mempunyai pengalaman yang memuaskan ketika mengguna pakai maklumat perakaunan yang disedia oleh organisasi.

“Proses mentransformasi akauntan supaya memiliki pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan amat penting untuk menjadikan mereka relevan, dihormati dan dirujuk oleh masyarakat, dan sekaligus membantu mempertingkatkan martabat perakaunan dan profesion akauntan menjadi tanda aras oleh profesion yang lain,” katanya.

Kenyataan ini dibuatnya berdasarkan kerangka yang telah dibina dengan menggunakan pendekatan pemikiran rekayasa dan diadaptasi, Model Binaan Individu Berjaya: Akauntan dalam Abad ke-21.

“Dengan merujuk kepada dapatan-dapatan hasil penyelidikan empirikal, model ini diharap boleh membantu dalam usaha merekayasa semula akauntan,” tambah Sofri.

Biodata Ringkas Prof. Dr. Sofri Yahya

live2

Sofri, 56 tahun, dilahirkan di Enggor, Perak pada 3 April 1965. Beliau mendapat pendidikan tidak formal melalui pengalaman apabila semenjak berusia 10 tahun berada di perniagaan kedai makan yang diusahakan oleh allahyarham ayahanda Haji Yahya dan juga Hajah Selamah yang sekarang masih beroperasi dengan nama Restoran Haji Yahya di persimpangan Jalan Onn Jaafar dan Tingkat Pasar, Ipoh.

Sofri mendapat didikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Cator Avenue dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Rendah Sri Putra, Sekolah Menengah Anderson dan seterusnya ke Sekolah Menengah Teknik, Ipoh, Perak.

Pada tahun 1983 selepas tamat SPM, Sofri melanjutkan pengajian di Eastern Michigan University sehingga tahun 1987 dalam Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, major dalam Perakaunan menggunakan kurikulum Liberal Arts.

Sekembali di Malaysia, Sofri bekerja sebagai Akauntan dan Pensyarah di Kolej Swasta sebelum mendapat tawaran menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran di University of Southampton, United Kingdom dalam bidang Perakaunan pada tahun 1992 sehingga tahun 1998.

Beliau mula berkhidmat di USM di Pusat Pengajian Pengurusan sebelum dipindah ke Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) pada tahun 2018. Beliau memegang pelbagai jawatan bermula sebagai Pengurus Program Francais, Pengerusi Rancangan, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, dan Dekan.

Pada tahun 2016beliau diamanahkan dengan jawatan Pengarah Pusat Islam, dan kemudian dipinjamkan ke DRB-HICOM University of Automotive Malaysia selama dua tahun sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Penyelidikan bermula tahun 2018 sehingga 2020.

Sofri dilantik sebagai Profesor penuh pada tahun 2018. Pada bulan Julai 2020, beliau kembali ke Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) dan selepas itu diberikan amanah menjawat jawatan sebagai Ombudsman USM bermula 1 Januari 2021.

Teks & Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 747

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024