USM, DELL METERAI MOU JALIN USAHASAMA HASILKAN GRADUAN BERKEMAHIRAN, INOVATIF BAGI INDUSTRI
“Usahasama akademik-industri ini akan dapat memperkaya dan memperlengkap pelajar dengan pelbagai pengetahuan, set kemahiran, pendedahan serta kebijaksanaan yang diperlukan.”
USM PULAU PINANG, 27 September 2021-- Universiti Sains Malaysia (USM) dan Dell Technologies Malaysia (Dell) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dua tahun bagi usahasama akademik-industriuntuk menghasilkan lebih ramai graduan yang bersedia untuk menerajui industri negara.
Naib Presiden Kanan Asia Selatan dan Pengarah Urusan Malaysia, Dell Technologies, Pang Yee Beng berkata, menerusi perjanjian tersebut, Dell dan USM akan menyediakan platform untuk mempersiap dan melengkapkan pelajar universiti berkenaan supaya mempunyai nilai kebolehpasaran dan kebolehdapatan pekerjaan yang tinggi di bawah Program LIFE USM.
Katanya, program rintis berkenaan (Program LIFE) merupakan inisiatif akademik baharu yang menyokong pembelajaran secara kreatif dan melalui pengkayaan pengalaman.
Menurut Pang lagi, kerjasama seumpama ini dengan salah satu universiti terulung dan tertua di Malaysia yang juga institusi intensif penyelidikan di negara ini, memperlihatkan komitmen Dell Technologies untuk bekerjasama dengan ahli akademik, dan berkongsi pengetahuan dan sumbernya untuk berinovasi dan membina tenaga kerja mahir untuk masa depan.
"Di Dell Technologies, kami yakin dapat mewujudkan kesan positif dan berkekalan menggunakan jangkauan, teknologi dan keupayaan bakat.Sebab itulahkami memulakan pelan 'Progress Made Real 2030' yang menggariskan matlamat dan strategi impak sosial kami.
"Sama pentingnya dengan penyelesaian teknologi yang dihasilkan di Dell, kami komited untuk membantu Malaysia membangunkan tenaga kerja yang bersedia untuk menceburi bidang kerjaya dalam industri yang memiliki kemahiran dan nilai-nilai murni untuk memenuhi keperluan masa depan digital negara," kata Pang, yang juga seorang alumni USM.
Sementara itu Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, USM berbesar hati dapat bekerjasama dengan syarikat gergasi industri dan jenama terkemuka dan boleh dipercayai seperti Dell dalam program LIFE itu, yang merupakan program pertama seumpamanya yang mendedahkan pelajar kepada pelbagai subjek seperti genomik dan gerontologi, pemikiran inovatif (pengkomputeran dan reka bentuk), literasi kewangan, falsafah dan grit, Matlamat Pembangunan Sosial (SDG), Makmal Hidup (Living Labs), dan sebagainya.
"Saya percaya dengan sokongan Dell khususnya melalui perkongsian kepakaran oleh kakitangannya sebagai pensyarah pelawat industri dalam program ini, para pelajar akan dapat diperkaya dan diperlengkapkandengan pelbagai pengetahuan, set kemahiran, pendedahan serta kebijaksanaan yang diperlukan.
"Ini sangat penting dalam mempersiapkan para pelajar untuk menyesuaikan diri dan menjadi inovatif pada masa-masa yang mencabar ini sebelum mereka memasuki pasaran pekerjaan,”tambahnya.
Dokumen MoU ditandatangani oleh Faisal Rafiq dengan Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Profesor Madya Ir. Dr. Abdul Naser Abdul Ghani sebagai saksi bagi pihak USM, manakala Dell Technologies diwakili oleh Pang dan Pengarah, Jualan Perniagaan Sederhana dan Women in Action Malaysia Chapter Lead, Teoh Ean Na sebagai saksi.
Turut hadir dalam majlis penandatanganan secara maya yang diadakan pada 9 September lalu ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pensyarah Senibina Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Ar. Tan Bee Eu; Pengurusan Kanan Dell Technologies; dan ahli-ahli Program LIFE USM.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Dell Technologies
- Created on .
- Hits: 524