USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM OUTREACH VAKSINASI HOSPITAL USM BANTU PERCEPAT CAPAI IMUNITI KELOMPOK

KOTA BHARU, KELANTAN, 21 September 2021 -- Pemberian vaksin melalui Program Outreach KPT Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) kepada komuniti rentan seperti tahanan dalam penjara diyakini mampu mencegah penularan jangkitan COVID-19 sekaligus membantu negara mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat.

WhatsApp Image 2021 10 01 at 00.31.42 1

Menurut Timbalan Pengarah Klinikal Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria, pemberian vaksin melalui program tersebut akan dilaksanakan secara berkala mengikut jadual yang telah ditetapkan bertujuan membantu Jabatan Penjara Malaysia Negeri Kelantan mengawal penularan wabak berbahaya itu terutamanya bagi Kluster Tembok.

“Saya yakin program pemberian vaksin kepada golongan rentan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya sebagai usaha memutuskan rantaian COVID-19 yang menular dalam kalangan tahanan di penjara.

“Melalui kerjasama ini juga, saya percaya ia dapat mengeratkan silaturrahim antara Penjara Pengkalan Chepa dan Hospital USM sebagai salah satu usaha meneruskan kelangsungan program kesihatan pada masa akan datang,” ujarnya ketika ditemui pada program tersebut di Penjara Pengkalan Chepa, di sini.

Tambah Zaidi, program outreach pemberian vaksin ini juga bertujuan untuk membantu Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital USM menggunakan secara maksima peruntukan bekalan vaksin yang diberikan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

“Melalui program Outreach KRIS ini, Hospital USM telah bersetuju untuk menjalankan aktiviti pemberian vaksin kepada tahanan Penjara Pengkalan Chepa, Penjara Satelit Pasir Mas, Pusat Reintegrasi Kem Desa Pahlawan, Machang dan Pusat Reintegrasi Batu Jong, Kuala Krai.

“Kita akan memberi suntikan vaksin kepada 200 hingga 350 orang untuk setiap sesi bergantung kepada bekalan dos vaksin yang diperuntukkan oleh SPPV Hospital USM,” jelasnya lagi.

 WhatsApp Image 2021 10 01 at 00.31.42 2

Sementara itu, Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Abdul Latiff ketika ditemui menyambut baik kerjasama yang diberikan oleh Hospital USM dalam usaha memastikan semua tahanan penjara menerima suntikan vaksin.

“Komuniti dalam penjara juga merupakan sebahagian daripada kita, walaupun berada di sebalik tirai besi, itu tidak bermakna mereka selamat daripada dijangkiti COVID-19.

“Jadi sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan mereka juga divaksinasi agar apabila mereka dibebaskan nanti, mereka tidak menjadi individu yang menyebarkan virus berbahaya ini kepada komuniti di luar sana,” katanya.

Menurut Wan Sani lagi, kapasiti semasa tahanan di Penjara Pengkalan Chepa buat masa ini ialah antara 2,700 sehingga 3,000 orang. Namun, seramai 1,900 telah menerima suntikan vaksin dos pertama dan seramai 550 telah lengkap menerima dua dos vaksin.

“Untuk program pada hari ini, Penjara Pengkalan Chepa mengenal pasti seramai 360 daripada 700 banduan yang masih belum divaksinasi untuk menerima suntikan vaksin dos pertama dan selebihnya akan divaksinasi melalui program ini untuk sesi berikutnya.

“Kita akui masih ada lagi kes jangkitan wabak COVID-19 membabitkan tahanan penjara, namun ia dalam keadaan terkawal, malah pelbagai tindakan telah diambil untuk memastikan penularan penyakit ini tidak terus berleluasa,” ujarnya lanjut.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Ihsan Penjara Pengkalan Chepa

  • Created on .
  • Hits: 697

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024