USM PRIHATIN, SEDIAKAN BANTUAN KHAS KEPADA PELAJAR
USM PULAU PINANG, 28 September 2021 -- Selaras dengan keprihatinan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang memahami kesulitan para ibu bapa dan pelajar terkesan sepanjang pandemik COVID-19, Universiti Sains Malaysia (USM) turut menyahut seruan ini bagi membantu pelajar-pelajarnya meneruskan kelangsungan menuntut ilmu.
Demikian ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang menyatakan bahawa USM memperkenalkan beberapa bentuk pengurangan yuran kepada pelajar-pelajarnya.
Menurut Faisal Rafiq, antaranya adalah pemberian pengurangan yuran Semester Pertama Sidang Akademik 2021/2022 sebanyak 20% kepada semua pelajar ijazah pertama dan ijazah tinggi tempatan termasuk pelajar Rancangan Pengajian Jarak Jauh seperti disarankan oleh KPT.
“USM turut memberikan pengecualian yuran pengekalan untuk kes penangguhan dan pengecualian ini melibatkan semua taraf (pelajar), bermula daripada Semester Kedua Sidang Akademik 2020/2021 dan Semester Pertama Sidang Akademik 2021/2022,” jelasnya.
Tambahnya lagi, USM juga tidak akan mengenakan penalti tempoh pengajian untuk penangguhan, selain memberikan diskaun yuran pendaftaran sebanyak 10 peratus kepada para pelajar baharu antarabangsa (pengambilan Semester Pertama Sidang Akademik 2021/2022). Kedua-dua Inisiatif ini merangkumi pelajar ijazah pertama dan ijazah lanjutan.
“Kelonggaran dan fleksibiliti ini diberikan seiring dengan keprihatinan semua pihak termasuk USM, KPT dan juga pihak kerajaan bagi membantu meringankan beban kewangan yang dipikul oleh para ibu bapa dan pelajar-pelajar ekoran pandemik,” katanya.
Beliau turut melihat inisiatif-inisiatif ini sebagai antara sokongan yang dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk terus berjuang menuntut ilmu walaupun berdepan dengan cabaran yang tidak dijangka.
- Created on .
- Hits: 884