MENTERI PENGAJIAN TINGGI LUANG MASA BERIADAH BERSAMA WARGA IPTA ZON UTARA
BALIK PULAU, 26 September 2021 -- Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad hari ini berkesempatan meluangkan masa beriadah bersama warga kepimpinan pelajar dan staf dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) zon utara dengan mengadakan aktiviti mendaki ke Glass House bermula di Pondok Upeh, di sini.
Program seawal jam 7.00 pagi itu dimulakan dengan sesi sarapan bersama Menteri dan wakil-wakil kepimpinan pelajar, Majlis Mahasiswa Anak Pulau Pinang (MMAPP) serta warga staf KPT dan IPTA yang kemudiannya diteruskan dengan aktiviti mendaki bermula jam 8.00 pagi.
Pendakian yang mengambil masa selama 45 minit itu dan dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal, memberi ruang dan peluang buat warga mahasiswa dan staf IPTA untuk berinteraksi secara lebih dekat dan santai bersama Menteri bagi berkongsi hal ehwal semasa berkaitan IPT masing-masing.
Antara IPT terlibat adalah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik-Politeknik zon utara dan MMAPP.
Selepas aktiviti pendakian, Noraini turut bersama barisan kepimpinan staf IPTA ke rumah pelajar kategori B40 yang menetap di Pondok Upeh, Balik Pulau yang telah berjaya dipilih memasuki universiti awam sidang akademik 2021/2022 bagi menyerahkan sendiri surat tawaran, sumbangan wang dan cenderahati kepada mereka.
Aktiviti tersebut tamat sekitar jam 11.00 pagi sebelum bersambung beberapa lagi aktiviti rasmi Menteri di sebelah petang.
Yang turut hadir adalah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPT, Prof. Dato' Dr. Husaini Omar; Naib-Naib Canselor USM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); pegawai-pegawai utama KPT dan IPTA zon utara.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 570