USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERTANDINGAN INOVASI PENDIDIKAN ISLAM DAN BAHASA ARAB, PELAJAR USM RAIH TEMPAT KETIGA

USM PULAU PINANG, 25 September 2021 -Mahasiswa Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Hamidee Bin Redzuan, 27, meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Inovasi Seminar Pendidikan Islam Dan Bahasa Arab, anjuran Persatuan Intelektual Muslim Malaysia (PIMM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

WhatsApp_Image_2021-09-27_at_08.54.47.jpeg

Dalam pertandingan tersebut yang berlangsung pada 29 sehingga 31 Ogos 2021, Hamidee membentangkan inovasinya bertajuk “Pembudayaan studio Tpendidikan interaktif dalam pengajaran dan pembelajaran yang efektif di era pandemik COVID-19.

Idea inovasinya adalah mengenai pembudayaan pendekatan rekabentuk asas studio TV pendidikan dalam sesi pengajaran dalam kalangan pendidik demi memastikan keberkesanan pembelajaran yang lebih efektif.

Menurut rakan-rakan sebaya Hamidee, dia adalah seorang pelajar yang komited, dedikasi, amanah, bertanggungjawab dalam pelaksanaan tugas yang diberikan serta sentiasa membawa dan mengharumkan nama universiti di persada antarabangsa.

Dia pernah mengharumkan nama universiti melalui program yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia Kampus Skudai iaitu Seminar Anti Rokok dan Tembakau peringkat kebangsaan dengan kerjasama Agensi Dadah Kebangsaan Negeri Johor, dan juga Pertandingan Pidato Antarabangsa anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Dalam pada itu, pertandingan inovasi ini bertujuan untuk mengetengahkan pandangan dan dapatan dalam norma baharu terutama bagi inovasi pendidikan Islam dan bahasa Arab selari dengan temanya “Pembudayaan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Efektif Di Era Pandemik COVID-19.

Penyertaan terbuka kepada guru yang berkhidmat sama ada di sekolah kerajaan mahupun kerajaan negeri, pelajar, dan pensyarah universiti awam yang mempunyai pelbagai latar belakang akademik sama ada dalam bidang pendidikan, pendidikan Islam mahupun bahasa Arab.

Selain menggalakkan dan meningkatkan kesedaran guru pendidikan Islam dan bahasa Arab tentang pentingnya inovasi, Seminar Inovasi Pendidikan Islam Dan Bahasa Arab ini turut memberi pengiktirafan dan promosi terhadap hasil inovasi yang bernilai dan berimpak tinggi dalam bidang pendidikan Islam dan bahasa Arab.

Teks: Mahirah Mahyidin/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1078

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024